
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari 2022 berhubung 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan CBT berhubung lebih RM31 juta dana YAB; 27 pertuduhan pengubahan wang haram; dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.
Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini ditangguhkan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan hari ini selepas Presiden UMNO perlu menghadiri mesyuarat Kabinet kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut laporan BH, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) supaya prosiding hari ini ditangguhkan Ahmad Zahid perlu menghadiri mesyuarat Kabinet.
“Kami memohon penangguhan pagi ini kerana Datuk Seri (Ahmad Zahid) perlu menghadiri mesyuarat Kabinet.
“Mahkamah membenarkan perbicaraan kes hari ini ditangguhkan dan akan bersambung esok,” katanya.
Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.
Perbicaraan kes hari ini sepatutnya bersambung dengan mendengar keterangan bekas Setiausaha Eksekutif Zahid, Datuk Rosiah Osman, pada sesi pemeriksaan utama.
Dalam keterangannya semalam, Rosiah memberitahu Mahkamah Tinggi, Zahid mendahulukan pembelian barang kelengkapan untuk disumbangkan kepada masjid bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi dengan menggunakan kad kredit peribadinya.
Menurut Rosiah yang berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Zahid dari tahun 1994 sehingga 2011, wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik pembelian berkenaan ke dalam kad kredit Presiden UMNO itu.