
Manifesto Perikatan Nasional Selangor dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Perikatan Nasional (PN) akan memberi tumpuan ke arah perbelanjaan pembangunan berbanding mengurus sekiranya dipilih rakyat negeri Selangor membentuk kerajaan negeri pada 12 Ogos ini, kata Datuk Seri Azmin Ali.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata manifesto dibentang PN baru-baru ini akan menumpukan ke arah perbelanjaan pembangunan bagi memastikan kebajikan dan infrastruktur kemudahan kepada rakyat negeri itu mendapat manfaat paling besar.
“Semasa pembentangan Belanjawan 2017, saya telah memaklumkan kutipan hasil kerajaan negeri ketika itu berjumlah RM2.6 bilion. Bermakna kita mempunyai satu jumlah kutipan yang besar untuk dimanfaatkan bagi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Rakyat Selangor menerima kepimpinan dan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu kerana saya meletakkan peruntukan pembangunan sehingga 52 peratus, manakala belanja mengurus hanya 48 peratus. Ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
“Kita tidak dapat membangunkan sesebuah negeri atau negara jika perbelanjaan mengurus itu terlalu besar, maka saya ambil pendekatan berani dan bertanggungjawab mengecilkan perbelanjaan mengurus supaya tiada pembaziran dan ketirisan serta tidak ada perbelanjaan jamuan terlalu mewah,” katanya dipetik dalam artikel wawancara dengan Sinar Harian.
Jelasnya, apabila perbelanjaan mengurus menjadi teras dalam pentadbirannya, pelbagai inisiatif dan kemudahan untuk rakyat dapat disediakan sekaligus dapat meningkatkan mutu kehidupan mereka.
“Apabila perbelanjaan pembangunan besar, maka rakyat mendapat manfaat sama ada dari segi kemudahan infrastruktur, prasarana dan inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk pemberian air percuma, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Hijrah serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
“Disebabkan itu, apabila dibentangkan tujuh tunjang dan 112 tawaran, rakyat yakin dengan tawaran dan janji kita kerana ia pernah dilakukan,” ujarnya lagi.
Menurut Azmin lagi, apabila berdepan krisis ekonomi sepatutnya sesebuah kerajaan berbelanja untuk menyeimbangkan kitaran ekonomi dan bukannya menyimpan tidak digunakan untuk membantu rakyat yang terjejas.
“Ketika negara berhadapan kegawatan ekonomi, sepatutnya kita berbelanja bukan menabung atau menyimpan. Tiada guna mendabik dada dengan simpanan besar sedangkan rakyat tidak dapat manfaat. Semasa di Selangor, dua kali saya kemukakan belanjawan defisit (berbelanja melebihi pendapatan) iaitu pada 2015, saya kemukakan RM450 juta dan 2016 sebanyak RM630 juta.
“Ia perlu dilakukan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di lapangan supaya rakyat mendapat manfaat. Berbelanja melebihi pendapatan itu dibenarkan atau dibolehkan ketika kegawatan,” katanya lagi.
Namun, Azmin berkata perbelanjaan tersebut perlu dilaksanakan secara berhemah dan telus untuk mengelak ketirisan.
“Bagaimanapun, disebabkan belanja secara berhemat dan bertanggungjawab dengan kakitangan perkhidmatan awam yang cekap, akhirnya kita mendapat surplus sebanyak RM230 juta pada 2015 dan RM351 juta pada 2016,” ujarnya lagi.