Peratus keluar mengundi rendah melegakan BN, yakin menang besar

Pusat mengundi seluruh Melaka ditutup secara rasmi jam 5.30 petang tadi dengan peratusan pengundi yang rendah, dianggarkan kira-kira hanya 63 peratus sahaja.

Jumlah pengundi yang rendah nyata memberi kelegaan kepada Barisan Nasional (BN) yang nampak yakin akan menang dan menyapu bersih sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, malah suasana di bilik gerakan utama BN di Taman Botanikal, Ayer Keroh tampak bergembira dan seakan membuat persediaan awal untuk menyambut kemenangan mereka.

Para petugas di bilik gerakan utama BN mula menerima kehadiran pemimpin utama mereka, malah pengamal media arus perdana mula memasuki pusat tersebut bagi membuat liputan.

Difahamkan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak juga akan turut sama berkumpul di bilik gerakan utama BN bagi meraikan kemenangan gilang gemilang gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Suasana kemenangan BN sememangnya dirasai di bilik gerakan utama, petugas-petugas jentera parti senyum riang dan bergembiran seakan mengetahui keputusan yang bakal menjadi milik mereka.

Bilik gerakan utama akan mengira jumlah undi yang diterima daripada semua pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN dan dijangka memperoleh keputusan tidak rasmi lebih awal.

Suruhanjaya Pilihan Raya hanya dijangka mengumumkan keputusan rasmi kira-kira pada jam 10 malam ini.

Sumber Agenda Daily memberitahu pemimpin utama BN sudah bersiap-sedia pada bila-bila masa untuk mengumumkan kemenangan besar mereka, berkemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan turut bersama bagi meraikan kemenangan.

“Suasana di bilik gerakan sangat baik, mood sangat positif… laporan dari PDM yang sudah dihantar memberikan isyarat kemenangan besar akan menjadi milik BN,” kata sumber.

Peratusan pengundi yang rendah menggusarkan pemimpin parti politik yang bertanding, malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin juga beberapa jam sebelum berakhir tempoh mengundi merayu kepada orang ramai untuk keluar membuang undi mereka.

Malah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui peratus keluar mengundi yang rendah boleh membawa masalah kepada gabungan itu.

Bagaimanapun, berbeza dengan Pengerusi BN, Zahid berkata perkara itu sudah dijangka namun yakin kemenangan besar bakal diraih gabungan itu walaupun peratusan pengundi yang keluar masih rendah.

Seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR