
Replika helikopter nuri di Kampung Charok Salang, Baling, Kedah. Gambar Facebook Ustaz Hassan Saad
Sebuah replika helikopter nuri hasil tangan sekumpulan anak muda di Kampung Charok Salang di Baling, Kedah menjadi tumpuan sempena pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Replika bernilai lebih RM20,000 hasil wang simpanan dan sumbangan keluarga itu mengambil masa sekitar enam bulan untuk dibina
Penggerak badan bukan kerajaan Gerak Amal Bersama, Muhammad Baihaki Ishak, 30 berkata semangat untuk menghadapi PRN Kedah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang mendorongnya bersama enam lagi rakan menyiapkan replika helikopter itu.
Katanya, mereka tidak menyangka replika tersebut yang berketinggian 10 meter dan lebar dua meter tersebut tular menarik perhatian masyarakat bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga negeri sekitar seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak selain Kelantan dan Terengganu.
“Idea untuk mencipta replika helikopter ini datang daripada abang sulung, Muhammad Zuhud Ulia yang bekerja sebagai tukang rumah.
“Kos keluar duit pada awalnya sebanyak RM18,000 tapi jika bagi kos pembuatan termasuk membeli casis lori dan bahagian dalam replika, kos keseluruhan mungkin telah lebih RM20,000,” katanya, lapor Sinar Harian.
Ahmad Lutfi Ishak, 21 pula memberitahu ketujuh-tujuh mereka mempunyai tugasan masing-masing bagi menyiapkan pemasangan bahagian luar dan badan serta enjin replika helikopter.
Jelasnya, replika yang dilengkapi penyaman udara tersebut juga dipasang lampu dan permandangannya lebih cantik pada waktu malam kerana bercahaya.
Sebelum ini tular di media sosial gambar replika helikopter nuri dengan logo PAS dan warna rasmi Perikatan Nasional.