
Penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin mula berkumpul di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi memberi sokongan moral kepada Presiden Bersatu tersebut.
SPRM memanggil Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu buat kali kedua dan terdapat spekulasi berkemungkinan bakal ditahan untuk didakwa esok di mahkamah.
Difahamkan Muhyiddin dijangka tiba pada jam 11 pagi ini.
Setakat ini tidak pasti apakah pertuduhan yang akan dibuat terhadap Muhyiddin, bagaimanapun kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini beberapa kali memberi isyarat dengan kenyataan mahu mengheret pemimpin pembangkang untuk didakwa.
Beberapa pemimpin utama PN yang terdiri daripada parti PAS dan Bersatu turut dilihat bersama dengan penyokong yang lain hadir di pejabat SPRM pagi ini.
Pemimpin Bersatu menjadi sasaran pendakwaan bermotif politik oleh SPRM dan akaun parti juga sudah dibekukan sehingga hari ini.
Pada 20 Februari, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti ditahan dan didakwa SPRM.
Sebarang langkah untuk mendakwa pemimpin utama Bersatu dijangka akan memanaskan lagi suhu politik negara.
Pemimpin PN sebelum ini memberi amaran pentadbiran Datuk seri Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) hilang undi Melayu kepada PN.