
Parti DAP.
Dua penyandang kerusi Parlimen DAP yang menang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tetapi tidak dicalonkan semula meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan pucuk pimpinan parti itu.
Bekas Ahli Parlimen Wong Tack dan Charles Santiago, masing-masing sebelum ini menang di Bentong dan Klang digugurkan daripada senarai calon yang diumumkan DAP untuk diletak pada PRU-15 yang berlangsung 19 November depan.
Wong seorang aktivis alam sekitar diletak sebagai calon DAP semasa PRU-14 lalu mempersoalkan keputusan yang dibuat DAP untuk mencalonkannya semula, malah Charles juga mempertikaikan keputusan parti untuk tidak mencalonkannya semula.
Masing-masing tidak mengetahui punca digugurkan pada PRU-15 kali ini, malah tiada sebab kukuh diberikan berhubung keputusan menggugurkan kedua-dua mereka oleh DAP.
Ironinya, kedua-dua ahli politik ini datang daripada latar belakang yang sama, mereka berdua aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum terjun ke dalam arena politik negara atas peluang diberikan oleh DAP.
Wong semasa PRU-14 lalu menang dengan majoriti tipis 2,032 undi sahaja dalam pertembungan tiga penjuru di Bentong, sementara Charles menang dengan majoriti besar 78,773 undi, juga dalam pertembungan tiga penjuru.
Paling tidak masuk akal adalah pengguguran Charles kerana majoriti diperolehnya adalah sangat besar, jadi keputusan tidak mencalonkannya menjadi persoalan dikalangan penyokong parti sendiri.
“Dia (Gobind Singh Deo, Pengerusi DAP Selangor) memberitahu saya belum ada keputusan lagi (mengenai pencalonan)) dan keadaan sedang berkembang.
“Jadi, saya bertanya kepadanya, di mana silap saya, dan dia tidak mempunyai jawapan untuk saya,” kata Charles dipetik Malaysiakini berhubung keputusan parti tidak mencalonkannya semula.
Sementara itu, Wong sudah membuat keputusan untuk tetap bertanding semula di Bentong pada PRU-15 dan menentang keputusan parti tidak mencalonkannya semula.
Langkah tersebut dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang difahamkan sudah hampir pasti mencalonkan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Bentong semula.
Dengan majoriti tipis yang dimenangi DAP sebelum ini, pertembungan banyak penjuru bakal menyebabkan mereka kehilangan undi sebelum ini yang akan menyokong Wong.
Keberangkalian untuk DAP tewas di Bentong terlalu tinggi jika Wong membuat pendirian untuk bertanding atas tiket bebas nanti.
Keputusan DAP yang menerima tentangan daripada bekas ahlinya selepas digugurkan daripada menjadi calon ini dijangka mencetuskan kemelut dalaman parti yang tidak mustahil akan memberi implikasi kepada keputusan PRU-15 nanti.