Penjajaran baharu UMNO, DAP perlu ambil kira suara akar umbi

Pimpinan DAP perlu mengambil kira suara akar umbi sekiranya mahu menyertai jajaran baharu politik tajaan UMNO.

Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, tiada guna membuat jajaran politik baharu itu, sekiranya DAP tidak mendapat sokongan daripada ahli parti.

“Kita tengok UMNO mahu kerjasama DAP dan PKR, tetapi adakah PKR dan DAP ada cita rasa yang sama? Apakah penyokong PKR bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO sedangkan mereka telah memberi pelbagai pandangan negatif ke atas UMNO?

“Kerjasama 3.0 ini banyak bergantung kepada keupayaan dan kepercayaan dalam kalangan ahli,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan Zahid membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Mengulas lanjut, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, penjajaran baharu itu perlu mendapat sokongan daripada akar umbi seterusnya memberi keyakinan kepada rakyat seluruhnya.

“Jika itu mahu dilakukan, kita harus melihat sejauh mana ahli parti bersetuju sedangkan beberapa bulan ini kerap dikatakan ‘No Anwar, No DAP’.

“Tiba-tiba jika wujud kerjasama, itu gambaran yang tidak begitu baik melainkan telah diperjelaskan kepada ahli parti,” katanya

Terdahulu, Ahmad Zahid membayangkan usaha penggabungan adalah bersama PKR dan DAP selepas mempertimbang kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.

Mengukuhkan fakta tersebut, dilihat program UMNO mulai berjalan bersama DAP apabila Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menziarahi seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghidapi kanser tahap empat bersama Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming.

Namun dalam isu lawatan itu timbul perasaan tidak puas hati daripada UMNO Bahagian Bangi.

Menurut ketuanya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain Ketua Wanita UMNO itu sudah banyak kali mengadakan program di sekitar Bangi namun UMNO Bahagian tidak pernah menerima jemputan daripadanya bahkan untuk memaklumkan kepada wakil di kawasan tersebut pun tidak pernah.

BERITA BERKAIT
POPULAR