
Calon Perikatan Nasional Md Yunus Ramli meninggal dunia awal pagi tadi (Sabtu, 19 November 2022).
Proses pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini (Sabtu, 19 November 2022) ditangguhkan kepada 7 Disember depan susulan kematian calon Perikatan Nasional Md Yunus Ramli awal pagi ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata SPR menetapkan tarikh baharu bagi pilihan raya DUN N.42 Tioman seperti berikut:
- Tarikh Writ: 19 November 2022 (Sabtu);
- Hari Penamaan Calon: 24 November 2022 (Khamis);
- Hari Mengundi Awal: 3 Disember 2022 (Sabtu); dan
- Hari Mengundi: 7 Disember 2022 (Rabu).
Menurutnya tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas perisytiharan calon yang bertanding pada 24 November sehingga jam 11.59 malam 6 Disember.
“Urusan permohonan undi pos bagi PRU-15 DUN Tioman dubuka mulai 19 November hingga 22 November,” katanya dalam kenyataan hari ini (19 November 2022).
Beliau berkata Pegawai Daerah Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dilantik sebagai pengurus pilihan raya DUN Tioman, manakala Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin digunakan sebagai pusat penamaan calon.
Maklumat lanjut boleh dilayari dilaman Facebook SPR.
Terdahulu, SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang.
Md Yunus, 61, daripada PAS, meninggal dunia di Hospital Rompin pada kira-kira jam 3.30 pagi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.
Pada PRU-15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).
Allahyarham yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada PRU-14.