Pengundi muda ubah landskap politik negara?

November 10, 2022 · Politik

Satu kajian daripada sebuah universiti tempatan menyatakan bahawa 61.7 peratus golongan muda hendak turun mengundi dengan apa jua cara sekali pun.

Faktor keterbukaan dan perubahan kerajaan pada 2018 telah memberi ruang untuk media lebih bebas sekali gus menarik perhatian golongan muda.

Sekiranya orang ramai masih melihat seolah-olah anak muda tidak mengambil tahu, ia merupakan satu stigma yang perlu diperbetulkan.

Ini kerana anak muda mulai sedar tentang kuasa yang diberikan oleh negara kepada golongan remaja untuk digunakan sebaiknya dalam memilih pemimpin yang berwibawa.

Dalam pada itu, perkembangan sihat dalam media sosial dapat menyaksikan penampilan wajah-wajah generasi baharu dalam iklim demokrasi negara, selain keyakinan anak muda juga sebenarnya diperoleh daripada pengaruh rakan-rakan yang sudah terlibat dengan politik.

Situasi ini mewujudkan suasana baharu dalam kalangan orang muda untuk sama-sama terlibat dan sama-sama sedar, bukan lagi sekadar menjadi penonton.

Menerusi satu hantaran sahaja di media sosial, ia mampu untuk menjadi tular apabila menyedari suara mereka lebih didengari kerana bersifat kolektif.

Ini membuktikan golongan muda ini bukan tidak mahu ambil tahu tetapi kadang-kadang mereka ini tidak diberi pendedahan yang bersifat adil, selain kadang kala anak muda melihat pendedahan yang dilakukan oleh parti politik itu bersifat berat sebelah iaitu kepentingan buat satu-satu kelompok tertentu.

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah landskap politik negara akan berubah selepas ini terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemas kini daftar pemilih baharu secara automatik yang menyaksikan pertambahan dalam bila­ngan pengundi muda?

Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, perkara itu adalah tidak mustahil lebih-lebih lagi apabila pengundi muda atau belia berusia bawah 40 tahun kini menca­tatkan lebih separuh daripada jumlah pembuang undi iaitu kira-kira 51 peratus.

“Susulan peningkatan jumlah pengundi muda ini, tidak mustahil akan berlaku perubahan besar pada landskap politik negara, malah parti-parti politik sudah pasti akan menampilkan lebih banyak calon muda untuk bertanding bagi menarik undi.

“Hasil kajian saya mendapati, kebanyakan pengundi muda cenderung untuk mengundi calon dalam lingkungan usia mereka juga atau tidak terlalu ketara jurang usia kerana merasakan lebih memahami kehendak mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Mohd. Azizuddin, penguatkuasaan had umur pemilih kepada 18 tahun yang berkuat kuasa 15 Disember tahun lalu juga dijangka memberikan impak kepada kancah politik negara, namun ia tidaklah terlalu ketara memandangkan jumlah­nya yang tidak terlalu besar.

“Pengundi berusia 18 tahun ini hanya kira-kira 10 peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah pengundi iaitu dianggarkan 1.8 juta individu, jadi mereka ini akan tetap memberikan impak, namun agak minimal.

“Yang dibimbangkan adalah jika mereka tidak keluar me­ngundi. Mungkin tidak mengundi kerana tidak pernah mengundi atau tidak tahu yang mereka kini boleh mengundi atau juga faktor-faktor lain seperti tidak minat, latar belakang keluarga dan lain-lain,” ujar beliau.

Mohd. Azizuddin berkata, dianggarkan terdapat seramai 4.8 juta pengundi baharu yang telah didaftarkan secara automatik sehingga kini, tetapi daripada jumlah tersebut kurang daripada 30 peratus dijangkakan keluar mengundi pada PRU-15 kelak.

“Tidak mustahil juga hanya 10 peratus yang akan keluar me­ngundi kelak dan ini akan menjadi satu kerugian kepada negara.

“Jika mereka memang tidak mahu mengundi, tidak mengapalah kerana itu hak mereka, namun lebih rugi jika mereka tidak tahu yang mereka sudah jadi pengundi berdaftar,” katanya.

Melihat kepada kebimba­ngan ini, adalah penting untuk pihak-pihak seperti SPR de­ngan sokongan pengamal media terutamanya mengorak langkah memberikan penerangan kepada individu-individu yang tidak menyedari bahawa mereka kini sudah boleh mengundi.

Berita berkaitan
PRK Kemaman: Peratusan keluar mengundi setakat 4 petang sebanyak 60 peratus
December 2, 2023· Isu semasa
PRK Kemaman: 48 peratus sudah keluar mengundi setakat 2 petang
December 2, 2023· Politik
SPR jangka 70 peratusan keluar pengundi pada PRK Kemaman esok
December 1, 2023· Isu semasa
744 kertas undi pos dikeluarkan SPR bagi PRK Kemaman
November 21, 2023· Politik
Popular
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024
Muhyiddin umum benar KWSP bersasar jika PN Kerajaan Pusat
November 14, 2022
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024
Lagi Politik terkini
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024 · Politik
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024 · Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024 · Politik
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024 · Politik
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok