Pengundi mahu ‘Kapten’ Hasni jadi MB selepas bawa BN menang besar

Cadangan Datuk Hasni Mohammad supaya Johor memilih orang muda untuk memimpin negeri itu memperlihatkan seolah-olah beliau telah mendapat ‘isyarat’ tidak akan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar (MB) yang disandangnya sejak 28 Februari 2020 lalu.

Beliau yang berusia 64 tahun berpendapat orang muda sepatutnya memimpin Johor bagi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Pengerusi Barisan Nasionan (BN) Johor itu berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.

“Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” katanya yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pengundi Johor yang memenangkan BN masih berharap Hasni akan dikekalkan sebagai MB kerana prestasi yang ditunjukkan beliau dalam mentadbir negeri itu.

Menurut penyokong BN, mereka telah berusaha untuk memenangkan parti itu kerana mahukan Hasni terus memimpin Johor.

“Saya sebagai Bangsa Johor berpulun menangkan BN hanya untuk inginkan kepimpinan Hasni terus memimpin pentadbiran Negeri Johor. Banyak ideologi, perubahan dan pencapaian yang telah di capai di bawah pentadbiran beliau.

“Dia Kapten kapal. Kapal dah selamat berlabuh dari perang dan hentaman laut bergelora tiba-tiba buang kapten kapal ke tengah-tengah laut.

“Mana istilah “cara johor”? Mana istilah “rumah kita”? Apa kami nak jawab dengan orang kampung? Fikirkan ya,” tulis netizen yang mengulas desas-desus Johor akan memperoleh MB baharu.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

“Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar BN di Johor,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang tadi berhubung pelantikan MB Johor.

Bagaimanapun, Zahid mengunci mulut sebaik kembali daripada menghadap Sultan Johor, petang tadi.

Desas-desus juga mengatakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Puad Zarkashi disebut-sebut bakal MB Johor baharu menggantikan Hasni.

Namun, nama lain yang disebut-sebut ialah bekas Ahli Exco negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan yang menang kerusi DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang berusia 43 tahun, berbanding Puad berumur 65 tahun.

BERITA BERKAIT
POPULAR