Pengikut fanatik Anwar marah kritikan Dr M ‘tak tahu perintah negara’

Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik sebagai “tidak tahu memerintah negara”, seorang pengikut fanatik Presiden PKR itu tampil mempertahankan bosnya itu daripada kritikan bekas Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Hamid yang dianggap pengikut setia Anwar itu berkata Dr Mahathir membuat penilaian berat sebelah apabila membuat tuduhan bersifat dendam dan fitnah walhal beliau sebenarnya dalang yang menggagalkan Anwar menjadi PM.

“Untuk Tun M, busuknya hati seseorang itu bergantung pada hujahnya. Kalau kata Anwar gagal, beliau belum lagi diuji. Jadi bagaimana dia kata Anwar tidak layak? Dia hendak kata siapa yang bagus? Muhyiddin (Yassin)? Atau dia sendiri?.

“Semua boleh mengkritik orang itu gagal, orang ini bagus. Tapi bagus dari segi apa? Adakah pandangan dia bersifat dendam? Jangan lupa fitnah yang dia buat terhadap Anwar, kerana asasnya hanya untuk tidak benarkan Anwar menjadi Perdana Menteri,” katanya dipetik laporan FMT.

Abdullah Sani nyata sakit hati dengan kritikan terbaharu Dr Mahathir yang ditulis dalam memoir terbaharu, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”.

Menurutnya, Anwar merupakan pemimpin sebenar yang berjuang untuk agenda rakyat dan membidas Dr Mahathir adalah pemimpin yang membela kroni serta anak-beranaknya.

“Anwar sudah diuji bermacam-macam, diperlakukan macam-macam tetapi beliau tetap teguh meneruskan agenda dan nasib rakyat.

“Ini baru pemimpin telus, bukan pemimpin yang hanya tahu menjaga kepentingan anak-beranak dan kroni,” tambahnya.

Dalam buku setebal 304 halaman yang dilancarkan baru=baru ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang itu mengkritik kebolehan Anwar memimpin dan merasakan Ketua Pembangkang tidak tahu memerintah negara berdasarkan pengalamannya lalu.

Dr Mahathir berkata, beliau bekerjasama dengan Anwar sebelum ini hanya dengan satu matlamat, iaitu untuk menjatuhkan bekas PM, Datuk Seri Najib Razak, dan kerjasama itu membuahkan hasil.

Walaupun Anwar mungkin menganggap dirinya berkebolehan, Dr Mahathir berkata beliau bukanlah faktor berlaku kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Untuk rekod, Anwar masih berada dalam penjara dan Dr Mahathir ketika itu memimpin Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya menumbangkan BN buat kali pertama dalam sejarah negara.

Dr Mahathir juga sebelum ini mengkritik Anwar yang bercita-cita untuk menjadi PM tetapi tidak memiliki sokongan majoriti, malah sanggup berkomplot dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar juga terlepas peluang sekali lagi untuk menjadi PM walaupun berjaya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya Zahid menipunya dan menyebabkan seorang PM dari UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi PM Kesembilan.

Sekali lagi, Anwar terpaksa mengigit jari selepas ditipu anak muridnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR