Pengerusi PH Melaka serah surat mohon kunjungan TYT

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad hari ini mengesahkan menerima surat permohonan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dari Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.

Menurut Nur Azmi, kunjungan hormat itu bagi membincangkan senario politik semasa Melaka bersama TYT negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Nur Azmi berkata tiada sebarang kunjungan hormat akan dilakukan oleh mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini berikutan Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri bermula 30 September lalu selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 dan tempoh kuarantin berakhir pada hari tersebut.

“Untuk kunjungan hormat, keputusan bergantung kepada Tun (Mohd Ali) pada hari beliau masuk pejabat semula.

“Jika beliau masuk pejabat Jumaat ini, mungkin beliau akan bagi keputusan untuk berjumpa atau tidak hari itu. Semua bergantung kepada keputusan beliau,” katanya lapor Bernama.

Semalam, empat ahli dewan undangan negeri (Adun) mengumumkan mereka hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Perkembangan ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.

Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi BN, Bersatu (2), DAP (7), PKR (2), Amanah (2) dan bebas (1).

BERITA BERKAIT
POPULAR