Penganalisis politik kata PAS tak akan tinggalkan Bersatu: Laporan

October 9, 2022 · Politik

PAS dijangka terus berada di dalam parti induknya, Perikatan Nasional (PN), bersama Bersatu dan beberapa parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata penganalisis politik susulan perkembangan politik kerajaan gabungan PN dan Barisan Nasional (BN) sekarang ini.

Bagaimanapun, PAS mungkin menyertai kerajaan campuran bersama BN jika dijemput UMNO selepas PRU-15, sekali gus akan meninggalkan PN.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Profesor Madya Dr Azmi Hassan dilaporkan berkata ketika PAS masih berdolak-dalik mengenai pendirian kerjasamanya, beliau yakin parti itu tidak akan meninggalkan Bersatu pada PRU akan datang.

“PAS terhutang budi dengan Bersatu dan tidak mahu dituduh tidak mengenang jasa BERSATU selepas parti itu mengambil mereka sebagai sebahagian Kerajaan Persekutuan ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

“Bagaimanapun jika BN menang, mereka akan bekerjasama dengan UMNO atas alasan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang kuat. Jadi, dengan cara itu, mereka boleh meninggalkan PN,” katanya memetik laporan BH.

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS tidak membuat keputusan menerima syarat ditetapkan UMNO sekiranya mahu bekerjasama dalam PRU-15, sekali gus mengekalkan parti itu di dalam PN yang disertainya bersama Bersatu, Gerakan, STAR dan SAPP.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam kenyataannya, dilaporkan berkata parti itu memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah membabitkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu termasuk UMNO dan Bersatu, bagi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU-15.

Mengulas lanjut, Azmi berpendpat ketika UMNO masih bertegas tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, PAS akan menggunakan naratif yang mereka sudah berusaha sedaya upaya ke arah penyatuan ummah dalam kempen PRU-15, namun UMNO yang masih berdegil.

“Kalau kita lihat, Bersatu tidak berkata apa-apa dalam hal ini dan itu strategi PAS dalam menggambarkan yang UMNO adalah masalahnya dalam penyatuan ummah.

“Bagaimanapun, mereka tahu, UMNO tidak boleh menerima Bersatu, terutama sekali kerana Bersatu mempunyai banyak ahli UMNO yang keluar parti selepas PRU-14,” kata Azmi.

Azmi juga melihat UMNO masih tidak mampu untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang stabil walaupun dengan bantuan kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“BN memerlukan satu lagi rakan di Semenanjung dan yang paling cocok adalah PAS. Disebabkan itu, PAS tidak memutuskan hubungan mereka sepenuhnya dengan UMNO kerana mereka tahu, pasca PRU, mereka berada dalam keadaan menjadi ‘kingmaker’.

“Walaupun kerusi mereka tidak banyak, tetap akan menjadi ‘kingmaker’ kerana UMNO memerlukan beberapa kerusi Parlimen lagi untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang kuat,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata selain pilihan kerjasama sama ada dengan UMNO atau Bersatu, beliau tidak menolak kemungkinan PAS bergerak sendiri pada PRU-15.

“PAS ada pengalaman bergerak solo dalam PRU-14 dan itu tindakan bermaruah. Bagaimanapun, jika PAS kekal dengan Bersatu dan PN, mereka terpaksa berdepan dengan UMNO dan BN seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Ini tentunya akan memberi kelebihan kepada UMNO, berdasarkan prestasi menang besar mereka pada PRN berkenaan,” katanya.

Ditanya pilihan yang ada pada Bersatu jika PAS memilih UMNO, Mohd Izani berkata, parti itu mempunyai pilihan untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka pernah menyatakan hasrat itu sebelum ini.

“Jika PAS keluar daripada PN, PN hilang kekuatan kerana kekuatan mereka bergantung pada PAS. Ahli dan kekuatan PAS melebihi Bersatu. Semasa PRU-14, PAS menang 18 kerusi, manakala Bersatu menang 13 kerusi Parlimen,” katanya.

Malaysia Memilih
Semak keputusan PRU15
Berita berkaitan
Satu lagi nama kementerian ditukar kerajaan baharu
10 jam lalu· Isu semasa
Kit Siang bimbang ‘gelombang hijau’ akan menjadikan Malaysia negara Islam sebelum PRU-17
10 jam lalu· Politik
Azeez Rahim dibebaskan terus selepas dua minggu kerajaan ‘hoi ya hoi’ memerintah
20 jam lalu· Isu semasa
Saya cuba padam rumah yang sedang terbakar, kata Annuar Musa
21 jam lalu· Politik
Popular
Naib Ketua Pemuda UMNO tegur pemimpin BN masih tak sedar diri
December 9, 2022
Kit Siang bimbang ‘gelombang hijau’ akan menjadikan Malaysia negara Islam sebelum PRU-17
December 9, 2022
‘Syaitan’ disisi DAP membisu
December 9, 2022
Kenapa Anwar tak tegur tauke telur, simen rapat PH-DAP? Wan Saiful
December 9, 2022
Lagi Politik terkini
Naib Ketua Pemuda UMNO tegur pemimpin BN masih tak sedar diri
12 jam lalu · Politik
‘Syaitan’ disisi DAP membisu
14 jam lalu · Politik
PRU Padang Serai: Cina marah PH lantik kluster mahkamah ke Kabinet
15 jam lalu · Politik
Kenapa Anwar tak tegur tauke telur, simen rapat PH-DAP? Wan Saiful
16 jam lalu · Politik
Annuar Musa antara Ketua Bahagian dipecat UMNO, selain dua Ketua Wanita
21 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Annuar Musa, 2 pemimpin wanita sah dipecat dari UMNO
14 jam lalu
[VIDEO] Isu kemiskinan pesawah, aktiviti kartel padi perlu perhatian kerajaan pusat
16 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok