Penganalisis juga akui cikgu lega bila kerusi Zahid tak ditandingi

January 16, 2023 · Politik

Kelegaan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah UMNO memutuskan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, turut dipersetujui penganalisis politik antarabangsa, tetapi kebanyakannya berkata apa yang berlaku bersifat sementara.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan keputusan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan depan pastinya memberi kelegaan kepada Anwar yang juga Perdana Menteri untuk terus kekal mentadbir kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO.

Sekiranya pertandingan dibuka bagi merebut kedua-dua jawatan utama dalam UMNO tersebut, cikgu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pasti akan pening kepala memikirkannya, memandangkan nasib kerajaan PH-UMNO sekarang bergantung sepenuhnya kepada Zahid.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika dua jawatan tersebut terbuka untuk dipertandingkan dan ia pasti akan mendatangkan risiko yang besar kepada Anwar untuk mempertahankan kerajaan PH-UMNO.

Bagaimanapun, penangguhan pertandingan dua jawatan itu hanya sementara kerana UMNO masih belum mengadakan pemilihan parti mereka di mana ahli yang menentang kepimpinan sedia ada pasti akan membuat percubaan untuk menggulingkan Zahid dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Zahid ialah Timbalan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan memegang portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala Mohamad lebih dikenali sebagai Tok Mat adalah Menteri Pertahanan.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Anwar – untuk membentuk Kerajaan Persekutuan – memerlukan kerjasama UMNO dan telah memberi mereka enam jawatan Kabinet, termasuk Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebelum ini, Zahid berkata dia akan menyerahkan kepada perwakilan untuk memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang, yang mesti diadakan pada 19 Mei tahun ini, dan pada Sabtu lalu (14 Januari 2023) mereka memutuskan jawatan tertinggi itu tidak akan dipertandingkan.

Memetik laporan MalayMail, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun ketika ditanya sama ada ini (tiada pertandingan) baik untuk Anwar, berkata:

“Ya, diharapkan dapat memanjangkan jangka hayat kerajaan campuran yang goyah ini, kerana jawatan kepimpinan parti Zahid terjamin. Pemimpin UMNO yang berbeza boleh membawa parti ke arah lain.”

Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid bagaimanapun berkata yang terbaik bagi Anwar adalah menjauhkan diri daripada Zahid dan “tabiat” UMNO.

“Akan ada kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang. Dalam jangka pendek, UMNO dan lanjutan sokongan BN terhadap kerajaan Anwar adalah terjamin. Ini petanda baik untuk kestabilan.

“Dalam jangka panjang, penentang Zahid dalam parti telah mendapat point untuk menyerang kredibilitinya atas dasar mengelak pertandingan melalui cara yang didakwa meragukan (rujuk sebagai contoh kepada video TikTok Khairy Jamaluddin baru-baru ini).

“Ia tidak baik untuk reputasi Anwar, Zahid menjadi penyokong setia dan timbalannya dalam kerajaan. Akan timbul masalah lagi jika Zahid didapati bersalah atas tuduhan rasuah erhadapnya.

“Ini adalah kes pelepasan jangka pendek, tetapi potensi masalah jangka panjang bagi kerajaan yang kononnya menegakkan demokrasi,” kata Ahmad Fauzi.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan beberapa hari lalu secara terbuka menyatakan minatnya untuk bertanding jawatan presiden. Beliau disambut dengan jabat tangan dingin oleh Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO, dan video TikToknya itu telah menjadi tular.

Sebagai tambahan, Zahid juga menghadapi banyak kes mahkamah yang sedang berjalan. Dia menghadapi sejumlah 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan pengubahan wang haram.

Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri pula berkata pengekalan jawatan Zahid dan Tok Mat dalam UMNO adalah halangan pertama yang perlu diatasi oleh kerajaan PH-UMNO.

“Ia pasti menjamin kestabilan kerajaan untuk sekurang-kurangnya beberapa bulan akan datang. Ia adalah halangan pertama bagi kerajaan – sama ada Zahid akan bertahan atau tidak.

“Kini jangka hayat kerajaan bergantung kepada a) keputusan kes mahkamah Zahid dan b) keputusan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini. Jadi ya, buat masa ini, sekurang-kurangnya untuk empat bulan akan datang, kerajaan Anwar kelihatan stabil,” katanya menurut Malay Mail.

PRN tahun ini mesti diadakan selewat-lewatnya pada Ogos dan September bagi enam negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dan PH.

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan menjadi “pertandingan yang ekstrem” dan keputusan mungkin menimbulkan pakatan baharu.

“Jika PH/BN tidak dapat memenangi empat daripada enam negeri, ia akan menjejaskan kestabilan kerajaan Anwar kerana pengundi Melayu akan mempersoalkan sama ada mereka perlu menukar kesetiaan kepada PN yang akan menjadi blok terbesar mewakili orang Melayu. Ia akan meletakkan kerajaan Anwar di bawah banyak tekanan,” jelas Syaza.

Sementara itu, ketika pengundian UMNO semakin hampir, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr Azmi Hassan berkata masih ada pertandingan untuk jawatan tertinggi lain seperti Majlis Tertinggi (MT).

Beliau berkata mereka yang menentang Zahid akan cuba meningkatkan profil dan pengaruh dengan bertanding jawatan tertinggi ini serta ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara.

“Peranan lain seperti dalam MT, jawatan naib presiden, ketua Wanita, Puteri atau Pemuda, termasuk di bahagian dan cawangan semuanya boleh dipertandingkan.

“Jadi sementara dua penyandang teratas adalah watak yang kuat dalam kerajaan Anwar, saya pasti mereka yang ingin menyingkirkan penyandang ini akan mendapatkan calon mereka untuk bertanding jawatan tertinggi,” kata Azmi.

“Ini tidak akan menjamin umur panjang Anwar jika kumpulan ini boleh menyingkirkan dua teratas dan memegang jawatan kritikal dalam UMNO. Ia akan menjadi permulaan kepada perebutan kuasa.

“Jadi dari segi kestabilan ia tidak dijamin 100 peratus walaupun tiada pertandingan untuk dua jawatan teratas dalam UMNO,” katanya lagi.

Pada PRU-15, PN memenangi 73 kerusi untuk menjadi gabungan kedua terkuat di negara ini, manakala BN yang pernah mendominasi politik negara hanya memperoleh 30 kerusi, termasuk 26 oleh UMNO, turun daripada 79 kerusi yang berjaya dikekalkan pada 2018 apabila ia ‘ditendang’ keluar daripada tampuk pemerintahan negara – kali pertama dalam masa lebih enam dekad.

Berita berkaitan
Kena jaga hati parti dalam kerajaan, PM ulas jika bekas ahli UMNO masuk PH
5 jam lalu· Politik
Nepotisme dan Kronisme: Bad Governance!
5 jam lalu· Politik
PM lantik anak jadi penasihat kanan
10 jam lalu· Isu semasa
Terima Khairy masuk PKR, nanti UMNO terguris hati macam mana? soal Aminuddin
10 jam lalu· Politik
Popular
Perpecahan UMNO berisiko jejas peluang PH pada PRN, kata pemimpin DAP
January 29, 2023
Terima Khairy masuk PKR, nanti UMNO terguris hati macam mana? soal Aminuddin
January 29, 2023
UMNO sekarang hanya menumpang orang untuk dapat jawatan: Ku Li
January 29, 2023
Undang-undang anti-lompat halang sertai parti Hajiji, kata Armizan
January 29, 2023
Lagi Politik terkini
Apa beza keluarga Anwar dengan Trump? soal Wan Fayhsal
3 jam lalu · Politik
Undang-undang anti-lompat halang sertai parti Hajiji, kata Armizan
10 jam lalu · Politik
Perpecahan UMNO berisiko jejas peluang PH pada PRN, kata pemimpin DAP
11 jam lalu · Politik
Pembersihan UMNO hampir sama dengan langkah PKR pada 2020 pecat pemimpin sendiri
15 jam lalu · Politik
Lawan lempar tuduhan, hanya cubaan rosakkan imej PAS-PN
15 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Ramai dah mula sedar, UMNO tak peduli orang Melayu
12 jam lalu
[VIDEO] Terserah kepada KJ sertai Bersatu
15 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok