Penganalisis jangka pengundi keluar lebih rendah dalam PRN Sarawak

December 13, 2021 · Politik

Jumlah pengundi yang akan keluar memilih Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini dijangka menurun berbanding pada 2016 lalu, kata penganalisis menurut laporan Bernama hari ini.

Desmond Labung tidak akan pulang ke Long Semadoh di tanah tinggi Ba’Kelalan untuk mengundi dalam PRN-12 minggu depan. Ini kali pertama beliau tidak akan mengundi pada pilihan raya dalam tempoh 15 tahun lepas.

“Ramai rakan saya juga tidak akan balik, sesetengahnya ada di semenanjung dan mereka tidak dapat beli tiket penerbangan untuk pulang. Bagi saya kos adalah satu hal, dan satu hal lagi adalah soal pelbagai sekatan berkaitan Covid-19,” kata Desmond, 48 tahun, lelaki dari etnik Lun Bawang, yang kini bekerja sebagai pengurus acara yang berpangkalan di Kuching.

Cara untuk beliau ‘balik kampung’ kini adalah dengan menaiki penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu, Sabah; kemudian menaiki van 11 tempat duduk selama empat jam dari stesen bas Kota Kinabalu untuk sampai ke Lawas di Sarawak; dan empat jam lagi perjalanan dengan pacuan empat roda menggunakan laluan balak untuk sampai ke rumah panjangnya di Long Semadoh. Secara keseluruhan, ia akan menelan belanja RM2,000 bagi perjalanan pergi dan balik.

Beliau tidak dapat menggunakan jalan darat sepenuhnya kali ini, kerana untuk ke Lawas kini beliau perlu melintasi Brunei, dan sempadan negara berkenaan ketika ini ditutup disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Dalam keadaan biasa, perjalanan merentasi Brunei itu sememangnya dinantikan oleh isteri serta anak-anaknya untuk balik dan mengundi, di samping menemui sanak saudara di Ba’Kelalan, kawasan pedalaman yang mempunyai 8,503 pengundi. Sebelum ini beliau telah tiga kali ‘balik kampung’ untuk mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratus yang akan keluar mengundi pada 18 Dis ini adalah sekitar 70 peratus, sama seperti PRN 2016; namun ramai pemerhati politik menjangka jumlahnya mungkin akan berkurangan kali ini.

“Saya jangka 65 peratus adalah lebih realistik. Cuaca hujan sejak kebelakangan ini dan Covid-19 adalah faktor utama, selain tarikhnya yang hampir dengan Krismas. Pengundi yang bekerja atau tinggal di luar dari pada kawasan mengundi mungkin tidak mahu berulang alik berkali-kali,” kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir.

Pada pilihan raya sebelum ini, parti-parti yang terlibat biasanya akan menyediakan perkhidmatan “shuttle” percuma untuk ‘mengangkut’ pengundi, namun kali ini belum kedengaran tawaran yang sedemikian.

Kira-kira 250,000 penduduk Sarawak bekerja di Semenanjung Malaysia ketika ini, dengan 40,000 bertempat di Johor.

“Walaupun angka 70 peratus mungkin tidak mustahil, namun ia banyak bergantung kepada sejauh mana kempen dijalankan untuk meyakinkan orang ramai pulang mengundi menjelang 18 Dis,” kata Jeniri.

Oh Ei Sun, felo kanan di Singapore Institute of International Affairs, menjangkakan jumlah pengundi nanti akan berkurangan kerana ramai yang mengambil sikap tidak peduli.

“Jumlah yang keluar mengundi akan menjadi serendah pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini. Ramai yang enggan mengundi kerana mereka tidak dapat lihat bagaimana undi mereka itu akan membawa apa-apa perbezaan. Apabila jumlah yang mengundi berkurangan, ia akan memberi kesan kepada pembangkang terutama di kawasan bandar,” kata Oh.

Pada PRN Melaka baru-baru ini jumlah yang keluar mengundi hanya mencecah 65.85 peratus.

Kira-kira 1.25 juta pemilih berdaftar di Sarawak layak mengundi pada PRN ini, peningkatan 10 peratus berbanding PRN 2016.

Tarikh mengundi awal bagi anggota pasukan keselamatan dan pasangan mereka ditetapkan Selasa ini.

Berita berkaitan
PRK Kemaman: Peratusan keluar mengundi setakat 4 petang sebanyak 60 peratus
December 2, 2023· Isu semasa
PRK Kemaman: 48 peratus sudah keluar mengundi setakat 2 petang
December 2, 2023· Politik
SPR jangka 70 peratusan keluar pengundi pada PRK Kemaman esok
December 1, 2023· Isu semasa
744 kertas undi pos dikeluarkan SPR bagi PRK Kemaman
November 21, 2023· Politik
Popular
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024
UMNO dah tak marah Adam dulu bawa turun bendera Najib, kata Akmal
May 14, 2023
Pengampunan diraja: Bukan bermakna anda tidak bersalah : Anwar
June 16, 2023
Akar umbi tolak Anwar, tapi Presiden mahu pula: Ismail Mohamed
April 25, 2021
Lagi Politik terkini
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024 · Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024 · Politik
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok