
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO berdukacita dengan keputusan mahkamah mengekalkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Parti lain tidak perlu memberi pandangan mereka berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kenyataan Presiden UMNO itu hadir selepas rakan parti dalam kerajaan campuran membuat kenyataan terbuka yang tidak bersetuju dengan langkah permohonan yang dibuat untuk mengampunkan bekas Perdana Menteri itu.
“Kita serahkan kuasa mutlak ini kepada Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini merupakan budi bicara baginda.
“Saya tidak mengalukan-alukan mana-mana pendapat daripada sebarang pertubuhan, apatah lagi parti-parti politik yang bersahabat dengan kita untuk memberikan komen yang tidak sepatutnya,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Zahid juga berkata parti-parti politik terutamanya yang bersahabat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya memberikan komen tentang perkara itu.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad mengeluarkan kenyataan menolak langkah untuk mengampunkan Najib.
Khalid berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia tentang sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa, sekali gus akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 9 April lalu, Zahid mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap Najib.
Sebelum ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memohon ihsan baginda untuk mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap bekas presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.