
Ahli UMNO meminta ROS menyiasat usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang, yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, baru-baru ini.
Dua ahli UMNO mempertimbangkan untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang memutuskan UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung 2022.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam suatu kenyataan mengesahkan UMNO dikecualikan pembatalan pendaftaran parti selepas menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengambil tindakan terhadap parti tersebut susulan aduan dibuat ahlinya berhubung usul jawatan Presiden dan Tmbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Ahli UMNO Kuala Nerus Aizat Fikri Nasir berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk memulakan proses semakan tersebut.
“Saya akan berbincang dengan rakan saya Fiqri Firdaus dan juga peguam kami bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan RoS tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Aizat meragui pengecualian melalui Seksyen 70 diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN), boleh disalahguna pihak tertentu dalam membetulkan segala ketidakaturan dilakukan mana-mana pertubuhan dalam meluluskan usul.
“Pengecualian tersebut (Seksyen 70) boleh disalahgunakan untuk membetulkan segala ketidakaturan (irregularities) yang telah dilakukan oleh mana-mana pertubuhan di bawah akta tersebut.
“Secara tidak langsung, pengecualian ini telah mengesahkan ketidakaturan sememangnya wujud dalam proses mengangkat usul tambahan tersebut,” katanya.
“Secara logiknya jika tiada pelanggaran di bawah Seksyen 13(1)(c)(4), makanya Seksyen 70 tidak perlu digunapakai oleh KDN. Pihak RoS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran telah berlaku.”
Pada masa sama, beliau mengakui kecewa sekiranya seksyen itu digunakan secara tidak betul memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’.
“Saya minta perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil serius tentang isu ini kerana ianya boleh mencalarkan kredibiliti kepimpinan kerajaan diterajui beliau, dan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem dan agensi penguatkuasa kerajaan,” katanya.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendedahkan RoS memutuskan UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan dengan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 .