
Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap semasa Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar malam tadi.
Langkah pendakwaan terpilih bermotif politik dibuat kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bertujuan untuk menutup kelemahan mereka selepas baharu beberapa bulan menjadi pemerintah.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin Berkata berkata kerajaan campuran masih tidak dapat memberi formula untuk membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tetapi cuba menutup kegagalan mereka dengan mengambil tindakan mendakwa pemimpin pembangkang.
“Ini satu detik permulaan yang sangat penting dalam sejarah kita. Kita berjuang bersama-sama atas platform yang sama untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Ini menjadi teras perjuangan kita sejak PAS ditubuh, sejak Bersatu tertubuh.
“Tak lain dan tak bukan inilah asas perjuangan kita dan akan terus kita perjuangkan sehingga kita berjaya. Prestasi mereka, walaupun berapa bulan seperti sudah ada tiga empat tahun di Parlimen. Semua formula tapi tak ada penyelesaian.
“Formula-formula untuk menyelesaikan masalah negara belum selesai. Isu dan masalah kos sara hidup, inflasi, janji yang tak pernah disentuh ditunaikan tak pernah dilaksanakan. Menunjukkan apa? Itu satu kelemahan yang agak ketara, kegagalan mereka.
“Terbukti jelas bila mana Perdana Menteri tidak dapat menunjukkan keupayaan prestasi untuk menjaga kebajikan rakyat dalam negara kita,” katanya selepas Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar malam tadi.
Jelasnya lagi, pendakwaan yang dibuat terhadapnya adalah tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas dibuat untuk menjatuh atau menumbangkan PN kerana jika tidak dilakukan boleh memberi ancaman besar terhadap mereka.
“Dan tidak mungkin akan dapat mempertahankan negeri-negeri yang ada di bawah PH pada hari ini kerana semua enam buah negeri ini insyaAllah akan kita menangi dan kita kuasai dalam PRN yang akan datang,” ujarnya lagi.
Berhubung penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, Muhyiddin berkata ada pegawai terbabit yang mengakui ‘speechless’ kerana sedar tuduhan tersebut terburu-buru kerana adanya ‘arahan daripada pihak atasan’ dan disifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan terhadapnya.
Menurut Muhyiddin lagi, PN telah menunjukkan sokongan luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
“Anak-anak muda hampir semua menyokong PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Jadi cara untuk menjatuhkan kita ialah menumbangkan pimpinan-pimpinan PN dan membuat tuduhan tak berasas.
“Ini kerana mereka tahu kalau tidak dibuat begitu kita akan mengancam mereka,” katanya lagi.