
Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Gambar Agenda Daily
Semua tujuh kes dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin dimohon untuk dibicarakan bersama oleh pasukan pendakwaan semasa sebutan kes hari ini di mahkamah.
Permohonan ke semua tujuh kes untuk dibicarakan bersama itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika semua kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Wan Shaharudin berkata pendakwaan memfailkan permohonan itu semalam dan ia diserahkan kepada peguam bela hari ini.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan pada atau sebelum 30 Jun ini bagi pembelaan menjawab permohonan itu dan turut menetapkan 14 Julai bagi pendakwaan membalasnya.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini untuk menghadiri prosiding sebutan kes pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.41 pagi tadi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat turut hadir di pekarangan mahkamah pada jam 8.55 pagi bagi memberi sokongan moral kepadanya.