
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto kredit UMNO Online
Susulan desakan agar DAP meminta maaf kepada UMNO yang dibuat sayapnya hari ini, Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas agar perkara itu tidak ditimbulkan lagi.
Menurut Zahid, UMNO dan DAP sudah pun mencapai kata sepakat ketika membentuk kerajaan campuran selepas PRU-15.
“Perkara itu (minta DAP minta maaf) tidak (sepatutnya) timbul lagi kerana mereka telah menyatakan perkara ini beberapa kali.
“Menerusi perundingan kita untuk membentuk kerajaan (Perpaduan) pun, perkara itu juga menjadi syarat dan mereka bersetuju seratus-peratus, (jadi) tidak perlu lagi kita ulangi perkara yang telah dipersetujui,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Zahid berkata demikian sebagai respons kepada desakan Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh agar DAP memohon maaf kepada UMNO atas tohmahan terhadap parti itu yang mengguris hati semua ahli sehingga kini.
Kata Akmal, ada ahli yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan risau apabila bersama DAP, ‘keris’ UMNO akan terperosok ke bumi.
“Bahasa mudahnya, akar umbi risau bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, soal kedaulatan raja-raja, tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu serta bumiputera.
“Mereka risau UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama kerajaan perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara serta bersama untuk membentuk kerajaan.