Pemuda UMNO tak sanggup gadai maruah, hipokrit

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. - Gambar UMNO Online.

Pemuda UMNO sedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, tetapi bukan dengan cara menggadai maruah dan bersikap hipokrit, kata Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Serentak itu, beliau mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menandatangani watikah calon PRU kepada mana-mana pemimpin UMNO yang hipokrit.

“Jangan sesekali diberi tempat di barisan hadapan untuk mewakili parti. Malah, ahli Umno wajar tolak hiprokrit seperti ini dalam pemilihan parti. Ingat pesan Nabi… jangan sampai ular patuk dua kali. Presiden ‘take note’ (ambil perhatian)… Presiden jangan tandatangan watikah,” katanya.

Kata-kata beliau itu dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang kini membarisi jawatan menteri Kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Menyampaikan ucapan dasar pada persidangan Pemuda UMNO di PWTC hari ini, beliau berkata, UMNO adalah sebuah parti yang sangat terbuka dan sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO katanya, menggesa pucuk pimpinan parti untuk berunding dan berpakat secara hemah dalam menjalin kerjasama itu.

“Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai. Yang penting mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan,” katanya.

Asyraf Wajdi menegaskan isu sedia bekerjasama tanpa mencairkan prinsip adalah antara lima perkara penting sebagai pedoman dan resipi kemenangan untuk UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, UMNO tidak boleh sesekali berasa kerdil dan berasakan parti itu lemah sehingga rela melutut kepada seteru politik yang kononnya menjamin kemenangan dalam PRU.