
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Pemuda UMNO tidak boleh memaksa DAP meminta maaf dan terpulang kepada mereka sama ada mahu meminta maaf atau tidak, kata Dr Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata gesaan DAP minta maaf datang daripada akar umbi dan hanya menyampaikan sahaja luahan ahli-ahli dibawah kepada pemimpin atasan.
“Kita tidak boleh paksa orang minta maaf. Saya hanya menyatakan hasrat umbi kerana cara terbaik DAP minta maaf untuk merendahkan suhu dan keresahan adalah minta maaf. Jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh, mengapa tidak dengan UMNO,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini semasa sidang media.
Bagaimanapun, Akmal berkata gesaan itu tidak akan menjejaskan kerjasama Pemuda UMNO dengan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Namun (desakan maaf) ini tidak bermakna hubungan Pemuda PH terjejas malah adalah sangat baik khususnya selepas Konvensyen Parti Kerajaan Perpaduan. Saya baru sahaja mesej dengan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii untuk berbincang gerak kerja hadapi PRN.
“Cuma kita Pemuda bawa suara akar umbi. Kita tidak boleh sembunyikan isu, jadi Pemuda kena berani barulah boleh beri kepercayaan,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau memperakui keluhan UMNO Wilayah Persekutuan dan Johor yang tidak berpuas hati sekiranya parti itu sekadar ‘penyeri’ dan ‘pelengkap’ kerajaan campuran.
Akmal menjelaskan meskipun UMNO kena sedar bahawa ia hari ini tidak mempunyai bilangan kerusi secukupnya untuk menjadi dominan dalam kerajaan, hala tujunya mesti bukan hanya nak menjadi parti yang sekadar “mencukupkan jumlah” kerusi kerajaan sahaja.
“Itulah sebenarnya keresahan di peringkat bawah (akar umbi), dan hari ini rata-rata di peringkat bawah sudah tahu apakah hala tuju yang kita nak,” katanya.
“UMNO tidak sama sekali mampu untuk menjadi ‘hanya nak mencukupkan kerusi sahaja’. UMNO mesti kembali dominan – ini yang kita mahukan, dan nak kembali dominan UMNO mesti mendapat balik kepercayaan rakyat.
“UMNO mesti buktikan dan tunjukan bahawa parti ini sudah berubah seperti apa yang rakyat mahukan,” ujarnya lagi.
Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar ketua sayap itu kelmarin menggesa DAP memohon maaf kepada ahli UMNO atas tohmahan yang mereka sampaikan kepada parti itu sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam kenyataan balas sebaliknya meminta Pemuda UMNO berhenti mengungkit kisah lalu dan fokus untuk memperkukuh kerajaan campuran.