
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Susulan tindakan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menghentam Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, Pemuda UMNO meminta supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan.
Pemuda UMNO menggesa Ismail Sabri supaya membatalkan lantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia susulan kritikannya terhadap Zahid baru-baru ini, kata seorang Exconya, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Muhamad Muqharabbin berkata Tajuddin tidak layak memegang jawatan besar tersebut bagi menjaga imej negara daripada tercalar.
“Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang telah beliau tunjukkan itu membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT bahkan saya menyarankan agar beliau tidak dilantik menjadi duta di Indonesia.
“Ramai pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan lebih layak dan boleh dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia. Adalah tidak baik untuk imej negara jika kerajaan menghantar seorang yang terpalit dengan pelbagai kontroversi di negara sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, keputusan melantik individu seperti Tajuddin menjadi duta akan merosakkan nama parti susulan kenyataan tidak matang dan memalukan sering dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
Muqharabbin berkata, keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat Tajuddin juga tepat kerana jelas beliau bukan seorang pemimpin yang amanah apabila mendedahkan kepada umum setiap isu parti yang dibincangkan secara dalaman.
Desakan sama dibuat Ketua Pemuda Bahagian Cheras, Johari Yazid apabila menganggap Tajuddin tidak layak menggalas jawatan duta dengan menuduh Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai panas baran, keras kepala, kurang toleransi dan sering menggunakan pendekatan “barbaric” dalam menyelesaikan isu.
“Contoh yang jelas dapat dilihat apabila beliau tidak profesional dalam menangani isu perlanggaran tren LRT tahun lepas yang menyebabkan beliau digugurkan sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad,” katanya.
Terdahulu, Tajuddin mendedahkan beberapa perkara dalaman parti, antaranya pengakuan dirinya sendiri menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, dikatakan terdapat pertemuan antara pimpinan UMNO di kediamannya pada Mei 2020 untuk meminta supaya Zahid turut daripada jawatan Presiden.
Dalam sidang media sama tersebut, Tajuddin mendakwa Zahid tidak layak untuk kekal sebagai Presiden dan perlu meletak jawatan kerana menjadi liabiliti kepada UMNO ekoran kes mahkamah yang sedang dihadapinya.