Pemuda UMNO Kubang Kerian bidas tindakan biadap gesa PM bubar Parlimen

Tindakan menggesa Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan biadap, kata Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian.

Ketua Pemudanya, Shahrul Fadhel Mohd Aziz mengulas insiden yang berlaku ketika penyokong BN meraikan kemenangan di Johor dan bertindak bersorak di depan Ismail Sabri supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan segera sebagai tidak wajar sama sekali.

“Dalam kegembiraan meraikan kemenangan BN menggalas tanggungjawab pentadbiran, saya secara peribadi merasa sedikit ralat dan terkilan apabila terlihat di khalayak, ‘segelintir’ pihak yang melaungkan ‘Bubar Parlimen!’ ‘di atas muka’ YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan cara yang boleh dikatakan amat biadap dan kurang ajar.

“Kemenangan ini hadir bersama besarnya tanggungjawab untuk membawa aspirasi rakyat dan semestinya tidak dapat dinafikan sama sekali ‘mood’ rakyat yang menyebelahi BN ini dicapai dari rasa yakinnya rakyat dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Juga juga tak dilupakan sokongan padu dan jitu dari YB Presiden UMNO dan seluruh saf kepimpinan UMNO dan BN terhadap beliau, maka amat tidak wajar jika segelintir pihak ini bersikap kurang ajar kepada YAB PM seolah beliau datang pihak lawan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Jelasnya lagi, sikap angkuh dan terburu-buru dibimbangi akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap BN yang mungkin boleh terhakis selepas ini.

“Jangan nanti dengan sikap terburu-buru merasa terlalu yakin membuatkan rakyat menjadi ‘meluat’ dan ‘mood’ rakyat beralih kepada pihak lain dalam PRU 15 nanti,” katanya.

BN memenangi PRN Johor dengan majoriti yang besar sama seperti di Melaka, susulan itu terdapat spekulasi mengatakan pemimpin atasan UMNO khususnya mereka yang terpalit dengan kes mahkamah mahu PRU-15 diadakan dengan segera.

Untuk rekod, Ismail Sabri mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen (MP) untuk dilantik menjadi PM, tetapi daripada jumlah itu hanya 41 MP terdiri daripada gabungan UMNO/BN, sementara selebihnya daripada beberapa parti komponen lain yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) antaranya Bersatu, PAS, GPS dan beberapa sokongan MP Bebas lain.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos.

Terdahulu pada 16 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti sokongan dan cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

BERITA BERKAIT
POPULAR