Pemuda senada dengan Tok Mat, gesa tangguh pemilihan selepas PRU15

Pergerakan Pemuda UMNO senada dengan pendirian Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya pemilihan parti itu ditangguhkan sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Exco Pemuda Noor Azleen Ambros berkata penangguhan itu wajar dibuat bagi mengelak pemilihan parti menganggu proses persiapan dan jentera UMNO bagi menghadapi PRU15.

“Langkah itu wajar dilaksana kerana kebiasaannya selepas pemilihan parti akan berlaku fasa ‘perpecahan’. Kita tidak mahu perpecahan itu berlarutan sehingga PRU-15 yang menyebabkan jentera dan fokus parti terganggu.

“Selain itu, kita juga mencadangkan kepada kepimpinan parti untuk mengadakan PRU lebih awal bagi mengambil mesej jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mana rakyat mahukan kestabilan politik,” katanya memetik laporan Utusan hari ini.

Terdahulu, Mohamad atau dikenali Tok Mat itu berkata pemilihan parti hanya dapat diadakan selewat-lewatnya November tahun depan dan parti perlu menyelesaikan terlebih dahulu berhubung aduan-aduan yang diterima semasa persidangan peringkat akar umbi diadakan.

“Pemilihan parti ini memang perlu diadakan tahun depan, sebab penggal yang ada ini akan berakhir sehingga hujung Disember 2022 nanti. Jika habis penggal hujung tahun, pemilihan di peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya bulan Julai mesti diadakan,” katanya. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda Bahagian Pasir Gudang berkata UMNO perlu mengembalikan kestabilan politik terlebih dahulu supaya urusan membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 boleh dilakukan.

Mengenai status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau mengakui pemimpin berkenaan masih mempunyai pengaruh yang boleh membawa impak positif kepada parti.

BERITA BERKAIT
POPULAR