Pemuda PKR bidas ADUN DAP suruh Anwar digantikan, cabar namakan pengganti

Tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Lee Chin Chen hari ini yang menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur mengundang rasa tidak puas hati akar umbi PKR.

Seorang Naib Pemuda PKR (AMK), S Thiban membidas ADUN DAP tersebut yang dianggap sebagai tidak wajar dan mempersoalkan motifnya menyuruh Presiden PKR itu berundur supaya ia digantikan dengan ketua baharu untuk mengetuai blok pembangkang, Pakatan Harapan.

“Apa sebenarnya motif Chin Chen menuding jari serta mendesak Anwar berundur? Apakah Lee akan turut desak Setiausaha DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk turut berundur dari pucuk kepimpinan PH?

“Kalah satu PRN terus ugut keluar PH ini seolah-olah memang wujud perancangan untuk menubuhkan satu pakatan baru tanpa PKR,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Thiban juga mempersoalkan adakah selepas ini PKR juga boleh ditendang keluar DAP daripada gabungan itu, PH.

“Jika itu yang dimahukan oleh pimpinan DAP maka mereka boleh keluarkan PKR daripada PH,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Thiban turut mencabar Chin Chen supaya mengemukakan nama calon pengganti Anwar.

“Jika tidak, Lee harus memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Terdahulu, Chin Chen menggesa supaya PH mencari pengganti baharu dan bukan bergantung semata-mata kepada Anwar yang dilihatnya gagal dalam memimpin blok pembangkang itu dengan baik selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu: Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.

“Saya menyeru Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ujarnya lagi, keputusan PRN Melaka adalah tamparan kepada PH.

PRN itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dengan memenangi 21 kerusi dan memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH hanya berjaya memenangi lima kerusi, manakala PKR tewas di semua kerusi ditandinginya.

Keputusan Anwar yang berdegil mahu meletak calon ‘katak berprinsip’ dalam PRN Melaka mendapat tentangan DAP namun beliau tidak menghiraukan dengan meneruskan juga rancangannya itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR