Pemuda PAS terkilan digelar ‘pelacur’, bidas UMNO juga main dua kolam

Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam

Gelaran ‘pelacur’ yang diberikan pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah kepada PAS adalah tidak wajar sama sekali, kata Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam yang mengakui mereka terkilan dengan kenyataan tersebut.

Khairil berkata sebagai seorang pemimpin yang lebih berpengalaman dan dianggap sebagai negarawan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menghina PAS sebegitu, namun mereka berlapang dada dan tidak mahu menjadikan ia satu isu yang perlu diperbesarkan.

Pertamanya, kami di peringkat Pemuda PAS jujurnya sebagai anak muda kita terkilan dengan kenyataan sebegitu rupa daripada seorang veteran atau pun negarawan negara.

“Tetapi banyak dah yang dilaksanakan negarawan ini dalam membangunkan negara, jadi takkan kesilapan sedikit ini menyebabkan PAS terluka,” kata beliau dalam wawancara bersama Bernama.

Khairil berkata PAS komited dengan kerjasama bersama UMNO yang dijalinkan menerusi Muafakat Nasional (MN) namun masing-masing perlu hormat-menghormati dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang akan menguris hati satu sama lain.

“Sebab itu pada pendapat kami, kami jalan terus sebab dalam Mesyuarat Muafakat Nasional yang kami lakukan dua minggu sekali kita menetapkan hala tuju yang jelas bahawasanya kerjasama ini akan terus berlaku dan diperkasakan

“Dan kita perlu menghormati dan dihormati, makna dalam erti kata jangan di kalangan pemimpin pemimpin kita ini membuat kenyataan-kenyataan menguris hati parti masing-masing,” ujarnya.

Berhubung isu sindiran kononnya PAS bermain dua kolam dengan kerjasama bersama Bersatu, Khairil membidas mengatakan UMNO juga bermain dua kolam kerana menjalinkan kerjasama selain daripada gabungan yang diketuainya dalam Barisan Nasional.

“Jadi, konteks yang mengatakan dua kolam satu kolam, saya boleh katakan UMNO adalah sebuah parti yang bersama dengan sebuah parti lain perikatan lain yang bukan sebagai Barisan Nasional.

“PAS sebuah parti bersama dengan satu parti lagi sebagai Perikatan Nasional, jadi kedua-duanya digabungkan dalam Muafakat Nasional… Jadi kalau PAS dikatakan bermain dua kolam, UMNO juga bermain dua kolam,” katanya lagi.

Kontroversi tercetus selepas Tengku Razaleigh dalam satu wawancara dengan portal berkata, “PAS seperti pelacur”.

Tengku Razaleigh juga berkata UMNO perlu menentang PAS dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Baginya PAS tidak boleh lagi dipercayai. Bahkan, berkata sejak awal penubuhan parti Islam itu, PAS tidak pernah berhenti menjadi ‘pengacau’ kepada Umno.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga mendakwa PAS tidak ikhlas apabila bekerjasama dengan UMNO, walaupun kedua-dua parti berkenaan sudah menubuhkan MN sejak dua tahun lalu.