Pemuda dan Puteri UMNO desak PRU-15 disegerakan, Covid-19 bukan lagi alasan

Sayap UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO senada hari ini mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa supaya menimbang perkara tersebut memandangkan parti itu berada pada tahap terbaik.

Kedua-dua pergerakan sayap UMNO itu menyifatkan Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan lagi untuk menangguhkan PRU-15 ia memandangkan musuh sekarang berada dalam keadaan lemah dan mereka perlu mengambil kesempatan tersebut sebaik mungkin.

“Covid 19, fasa pandemik sudah beralih ke fasa endemik. Sudah boleh solat di masjid seperti biasa. Sudah boleh makan di kedai 24 jam. Sudah boleh keluar masuk-negara seperti biasa.

“Tak nafi risiko tetap ada, tetapi, ‘no pain no gain’. Risiko yang dihitung harus dibuat demi masa depan parti dan negara,” kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan semasa ucapan dasar pergerakan itu pagi ini.

Zahida juga berkata UMNO kini bersemangat untuk menebus kekalahan semasa PRU-14 lalu dan amat yakin keyakinan mutlak menjadi milik mereka sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini.

“Kita sudah berada di gear empat, nak masuk gear lima. Tunggu untuk overdrive sahaja. Kita nak memecut kereta kita ke garisan penamat.

“Untuk meraih kemenangan mutlak, menebus maruah kita yang hilang dalam perlumbaan PRU-14 dulu. Jangan lemahkan semangat kami, kami mahu pecut dan pecut lagi.

“Jangan kata kami wanita muda, puteri lemah. Bahkan kami boleh menjadi lebih jantan dari setengah jantan yang ada. ‘Our balls can be bigger than yours’,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga memberi gesaan yang sama supaya mandat diberikan kepada rakyat untuk memilih pada PRU-15 nanti dan tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijalankan sebelum ini dengan selamat adalah bukti PRU juga boleh diadakan walaupun dalam keadaan Covid-19 masih menular.

“Maka kita tiada pilihan melainkan memulangkan kembali mandat kepada rakyat bagi mereka membuat pilihan. Tiada lagi sebarang alasan untuk kita menafikan hak rakyat menentukan kestabilan.

“Tiga Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor, dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah dan penuh ketertiban. Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik.

“Sebuah negara demokrasi memerlukan rakyat sebagai kata penentu keabsahan sesebuah kerajaan. Hanya dengan mandat baru maka sebuah Kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan,” katanya semasa ucapan dasar pagi ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa ucapan perasmian sayap parti itu juga memberi desakan sama agar PRU-15 disegerakan.

Menguatkan hujah UMNO semakin kuat, Mohamad juga berkata semua parti lain kini berada dalam keadaan lemah dan tidak sekuat mereka, ia sekaligus memberi keyakinan untuk merampas semua kerusi yang mereka tewas semasa PRU-14 lalu.

“PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di (PRN Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi di (PRN) Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 daripada 14 kerusi.

“Perikatan Nasional (PN) pula dalam semua PRN, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing handal lagi digeruni. Di Johor, PN sudah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi,” katanya berucap di PWTC malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR