
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akhlak yang runtuh menyebabkan seseorang itu tiada lagi perasaan malu apabila melakukan sesuatu yang salah tanpa ada pertimbangan.
“Kalau sebut akhlak itu, mestilah akhlak yang baik dan dalam situasi di negara kita ini, kita berasa cemas kerana akhlak umat kita, manusia kita, rakyat kita semakin hari semakin runtuh.
“Ini menyebabkan sudah tiada lagi rasa malu bila melakukan sesuatu yang salah. Bila sampai satu tahap, tidak rasa malu buat apa sahaja tanpa ada pertimbangan, terutama jika babitkan pimpinan masyarakat dan politik atau pun kerajaan,” katanya bekas Perdana Menteri itu.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika berucap sempena Mini Karnival Pemulihan Negara dan Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Tanjung Malim, hari ini (9 Oktober 2022).
Sebab itu, kata Muhyiddin, sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, perkara yang harus ditekankan adalah bagaimana dapat memperbaiki budi pekerti dan akhlak sendiri serta kembali semula kepada asas yang telah terbina dengan agama Islam.
“Saya ambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya sebagai pemimpin, bekas Perdana Menteri serta sebagai bapa untuk saling mengingati supaya kembali kepada asal, iaitu (rujuk) bimbingan dan contoh tauladan terbaik daripada junjungan Nabi Muhamamd SAW.
“Kalau peringkat akhlak kita sudah rosak, ia akan menyebabkan nilai hidup itu tidak bermakna lagi. Semua tidak ada pertimbangan, yang haram dihalalkan dan perbuatan yang salah dilakukan pula, tidak berasa malu lagi,” katanya menurut BH.
Katanya, asas pendidikan akhlak sudah terbina sejak dididik oleh ibu bapa dan di sekolah dengan ilmu pengetahuan, termasuk berkaitan adab, budi pekerti, tatusila dan budi bahasa bagi membentuk insan berakhlak mulia.
“Ilmu amat penting untuk membolehkan kita tahu mana satu lebih baik, mana tidak baik dan mana satu yang dituntut serta ditegah agama. Jika seseorang itu memahami perkara berkenaan, maka amatlah penting dia menekankan soal akhlak yang baik sesama manusia.
“Ada pihak mengaitkan akhlak yang runtuh dengan penyalahgunaan dadah sehingga ada pihak menyalahkan ibu bapa, tidak kurang juga menyalahkan sistem pendidikan dalam negara ini,” katanya.
Bekas Perdana Menteri menegaskan, apa pun sebabnya, kelemahan akhlak adalah amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja berlegar dalam kalangan anak muda, tetapi juga orang yang dewasa dan tua.