
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Seorang pemimpin akar umbi PKR turut menyuarakan pendirian menolak langkah yang diusahakan UMNO untuk mendapatkan pengampunan bagi Datuk Seri Najib Razak.
Pendirian menolak pengampunan Najib itu dinyatakan Ketua Pemuda PKR Cabang Bukit Bendera, Amir Syamimi Hashim yang mempersoalkan kewajaran untuk mengampunkan bekas Perdana Menteri itu pada ketika pencuri kecil yang lain terpaksa menjalani hukuman penuh.
Katanya, gesaan itu juga akan dilihat sebagai cubaan melindungi kesalahan Najib daripada tindakannya.
“Mereka yang mencuri motosikal atau barangan lain atas keperluan, ataupun mengambil dadah kerana ketagihan, tidak berpeluang diberikan pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Najib tidak wajar diberikan keistimewaan untuk mudah mendapatkan pengampunan dan perlu dilayani seperti pesalah yang lain dihukum penjara.
“Akibatnya keluarga mereka menderita ekoran daripada pemenjaraan mereka. Tambahan pula, mereka tidak dapat mencari pekerjaan yang baik selepas dibebaskan kerana stigma yang dikaitkan dengan rekod jenayah.
“Sebaliknya, Najib yang disabitkan dengan pelbagai pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa meminta diberikan layanan istimewa.”
Dalam pada itu, Amir menegaskan sebarang cubaan menggunakan tekanan politik untuk mempengaruhi keputusan kes jenayah perlu ditolak dan menyerahkan ia kepada kedaulatan undang-undang, prinsip dan etika.
“Sudah pasti kita tidak menyokong penjenayah dan perasuah.
“Bagaimanapun, kita harus memastikan bahawa semua individu dilayan secara sama rata dan adil mengikut undang-undang,” katanya lagi.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Permohonan beliau untuk mendapatkan semakan kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu turut ditolak, menjadikan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan adalah menerusi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.