Pemimpin, ahli keluar UMNO kerana berhijrah tinggalkan kejahilan

Pemimpin dan ahli UMNO yang meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu sebenarnya bertindak meninggalkan sebuah parti yang dipimpin individu bermasalah yang melakukan banyak perkara jahil.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan pemimpin yang meninggalkan UMNO berhijrah meninggalkan kejahilan dan bukan katak politik.

“Pemimpin dan ahli parti yang keluar UMNO memilih Bersatu kerana melihat parti itu sebagai wadah yang lebih baik dalam usaha membantu rakyat.

“Ramai yang keluar daripada UMNO bukan katak politik, tapi nak berhijrah daripada kumpulan yang penuh dengan bermacam isu, yang pada satu ketika dipimpin oleh Najib Razak sendiri.

“Itu menyebabkan orang lari daripada UMNO. Berhijrah itu lebih baik untuk meninggalkan segala perkara jahil yang dilakukan oleh mereka, dan keluar daripada masalah itu untuk mencari tempat yang lebih baik untuk membantu rakyat,” katanya.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata demikian dalam temu bual yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), yang menyerang PN dan Pakatan Harapan bagi meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mendakwa parti itu sama dengan mengundi katak politik.

Isu katak politik itu dimainkan tatkala UMNO juga menerima beberapa ahli Bersatu di Melaka yang melompat menyertai parti itu menjelang PRN Melaka beberapa hari lalu.

Mengulas isu wajah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih banyak terpampang di seluruh Melaka berbanding calon PN, Hamzah berkata ia menggambarkan keyakinan parti itu terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Katanya, pihak yang mempersoalkan perkara itu ‘malu’ dengan pemimpin parti mereka sendiri merujuk kepada PH dan BN yang tidak mempamerkan gambar pengerusi masing-masing sepanjang kempen PRN Melaka.

“Mereka tak berani letak sebab takut orang kata, inilah individu bermasalah yang akan memimpin calon mereka nanti.

“Analoginya seperti penyu yang simpan kepala dalam cengkerang. Kita berani letak gambar ‘Abah sayang Melaka’ kerana nak tunjukkan dialah (Muhyiddin) yang akan pimpin, nasihat calon PN nanti.

“Mungkin mereka malu nak letak gambar presiden parti mereka sendiri,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR