
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Mohd Yusof Ismail.
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini, gesa Datuk Mohd Yusof Ismail.
Ketua Bahagian Alor Setar itu menggesa supaya kedua-dua jawatan tertinggi UMNO itu terbuka untuk ditandingi oleh mana-mana calon yang mahu mencabar penyandangnya dan UMNO tidak wajar menyekat demokrasi dalam parti tersebut.
“Inilah yang sepatutnya berlaku untuk menguatkan kembali imej UMNO.
“Rakyat melihat UMNO sebagai sebuah parti yang terbuka, sebab itu suka atau tidak suka, rela atau tidak rela, kita kena biarkan sahaja pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan diadakan.
“Biarlah perwakilan tentukan siapa paling layak mengemudi parti selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof juga berkata pemilihan parti sebelum ini tidak ada perpecahan dalaman parti walaupun berlaku pertembungan dalam merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
“Berlaku lima penjuru lawan Presiden namun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap menang. Datuk Seri Mohamad Hasan pula menang Timbalan Presiden manakala Naib Presiden dimenangi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Khaled Nordin.
“Tiada pun perpecahan dalam UMNO. Semua hormati dan terima keputusan kerana menang secara sah dan adil,” ujarnya lagi.
Menurutnya, sesetengah ahli UMNO yang tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan menggunakan alasan tidak mahu perpecahan atau mengelak parti menjadi porak-peranda.
“Namun hakikatnya, mereka inilah yang selama ini paling kuat memecah-belahkan parti, memporak-perandakan keluarga UMNO sampai rakyat naik muak dengan politiking UMNO.
“PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) UMNO kalah juga tetapi tidaklah seteruk kekalahan PRU15. Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden ketika itu letak jawatan termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Naib Presiden. Inilah namanya tanggung jawab kolektif,” katanya.