
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, cikgu dan anak murid.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas berakhir pemilihan parti semalam yang menyaksikan kebanyakan ‘cai’ Presiden UMNO itu berjaya menang dalam barisan tertinggi parti.
Perdana Menteri itu memberi ucapan tahniah kepada Zahid walaupun umum mengetahui jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini, malah diberikan pengecualian khas oleh kerajaan dalam keputusan dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita ambil maklum perkembangan terkini. Setinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan yang menunjukkan satu kemenangan pasukan yang meyakinkan dan dengan ini, ia akan memperkukuh Kerajaan Perpaduan,” katanya mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam tadi.
Anwar berkata keputusan dalam pemilihan UMNO berupaya memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya ketika ini.
UMNO mengakhiri siri pemilihan partinya hari ini, selepas 187 Bahagian UMNO di seluruh negara bersidang pada Sabtu.
Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden UMNO selepas jawatan disandang tidak dipertanding, selain timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Jawatan Naib Presiden UMNO pula disandang Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Keputusan penuh pemilihan bagi mengisi kerusi dalam UMNO untuk tempoh 2023-2026 menyaksikan hampir keseluruhannya dimenangi oleh kem yang menyokong Zahid.
Daripada tiga jawatan Naib Presiden, Majlis Tertinggi (MT) dan sayap parti – Pemuda, Wanita serta Puteri – muka-muka yang memenangi jawatan itu hampir keseluruhannya dikuasai mereka yang pro kepada Zahid yang juga.
Dengan orang Zahid terus memonopoli jawatan dalam UMNO, ianya memberi keselesaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.