Pemilihan UMNO mungkin lebih awal jika Ismail Sabri enggan bubar Parlimen

Jika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum (PRU) diadakan, berkemungkinan besar pemilihan parti UMNO terpaksa diadakan lebih awal daripada sepatutnya dijadualkan.

Langkah Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) yang secara terbuka menyokong Ismail Sabri untuk mentadbir kerajaan sehingga habis penggal 2023 sekaligus memberi isyarat jelas menolak sebarang usaha untuk mengadakan PRU awal.

Ura-ura desakan supaya PRU diadakan lebih awal timbul selepas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini, ia bagaimanapun menerima tentangan beberapa ahli yang berada dalam kem Ismail Sabri.

Langkah awal diambil beberapa pemimpin senior UMNO yang menyokong Ismail Sabri bagi menyekat kemaraan Zahid daripada meneruskan rancangannya supaya PRU lebih awal diadakan.

Menurut sumber, tidak dinafikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan kes rasuah Datuk Seri Najib Razak melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) menyebabkan Zahid terpaksa mencari jalan sebelum keputusan mahkamahnya diputuskan dalam masa terdekat.

“Keputusan kes Najib memberi kesan mendalam terhadap Presiden UMNO, kebimbangan sama timbul jika senasib dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Sudah pasti Zahid tidak mahu nasib yang menimpa Najib juga berulang terhadap dirinya, jalan terbaik adalah dengan mengadakan PRU dan jika UMNO menjadi dominan peluang untuk terlepas daripada kes perbicaraannya lebih cerah nanti,” kata sumber kepada Agenda Daily.

Bagaimanapun, Zahid perlu menyuruh Ismail Sabri membubarkan Parlimen terlebih dahulu jika mahu PRU diadakan dan ia perlu disusuli dengan langkah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Namun, langkah menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak semudah yang disangka, lebih-lebih lagi negara baharu sahaja berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan rakyat baharu dapat hidup secara normal.

Sekiranya PRU diadakan dalam keadaan Covid-19 masih merekodkan kes harian beribu, ia pasti akan mengundang kemarahan rakyat terhadap satu lagi krisis politik yang berlaku.

Satu-satunya jalan terakhir dimiliki Zahid jika langkah mengadakan PRU awal tidak berhasil adalah dengan menarik semula keputusan menangguh pemilihan parti dan menjalankannya dengan secepat mungkin.

Untuk rekod, UMNO sebelum ini mengumumkan pemilihan jawatan UMNO di semua peringkat cawangan, bahagian dan MT ditangguhkan selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu adalah selaras Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu “Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan”.

Dalam kenyataan Ahmad semasa mengumumkan langkah menangguhkan pemilihan disebut “pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik Covid-19 adalah terkawal”.

Ia bermakna jika UMNO mahu mengadakan pemilihan parti dan menarik balik keputusan menangguhkan sebelum ini, satu surat rasmi perlu dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) supaya pemilihan boleh dijalankan.

Kuasa untuk menentukan sama ada pemilihan dijalankan atau ditangguhkan berada di tangan Presiden, oleh sebab itu Zahid mempunyai autoriti untuk mengarahkan Setiausaha Agung bertindak mengikut telunjuknya.

Melihat senario semasa, Ahmad masih dianggap sebagai pengikut setia kepada Zahid, malah antara pemimpin UMNO selepas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendesak supaya PRU disegerakan.

Sekalipun gagal dalam usaha mendesak PRU disegerakan, pemilihan parti antara satu-satunya jalan terakhir yang dimiliki Zahid untuk meneruskan langkah seterusnya.

Zahid dilihat berkelebihan dan mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu parti selain boleh memilih calon pilihannya untuk mengisi jawatan penting dalam UMNO.

Pengaruh Zahid dikalangan akar umbi tidak boleh dipandang ringan, Ismail Sabri juga pastinya berdepan cabaran getir untuk merampas jawatan Presiden daripada Zahid.

Tidak boleh dibayangkan jika Zahid yang terpalit dengan puluhan pertuduhan di mahkamah kekal menjadi Presiden UMNO, namun itu adalah realiti yang perlu diterima sekiranya pemilihan parti diadakan.

Dua pilihan ditangan Ismail Sabri, berdepan pemilihan parti melawan Zahid bagi jawatan Presiden atau membubar Parlimen bagi mengadakan PRU berdepan dengan parti pembangkang dan satu lagi blok, Perikatan Nasional (PN).

Musuh UMNO dalam PRU bukan lagi parti pembangkang, tetapi juga akan berdepan rakan parti yang berada dalam kerajaan sekarang kerana UMNO sudah membuat keputusan untuk bertanding secara solo.

BERITA BERKAIT
POPULAR