
Pemilihan UMNO bermula.
Pemilihan parti dibimbangi akan memberi kesan yang lebih buruk kepada UMNO sekiranya dijalankan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata UMNO Melaka.
Wakil UMNO Melaka, Datuk Mustafa Musa semasa perbahasan membuat perbandingan dengan jangkitan Covid-19 yang hanya memberi kesan selama tujuh hari tetapi implikasi yang akan dihadapi parti jauh lebih buruk sekiranya pemilihan parti diadakan awal sebelum PRU-15 nanti.
“Kalau positif Covid ia tujuh hari tetapi pemilihan parti parut tetap ada. Apabila ada pemilihan sebelum pilihan raya banyak hati yang terguris. Bukan setakat itu dibimbangi akan menyebabkan berlakunya rombakan struktur dan tiba-tiba pilihan raya dipanggil keadaan akan jadi haru-biru.
“Cukup masanya bertandinglah. Pemilihan parti mestilah diadakan selepas pilihan raya dan jangan kompromi. Ikut keputusan parti,” katanya dipetik laporan media semasa perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO semalam.
Dalam pada itu, Mustafa berkata UMNO Melaka memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan utama parti bagi membincangkan waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen untuk memberi laluan PRU-15 diadakan.
“UMNO Melaka memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan parti bagi membuat keputusan PRU-15 dan bincanglah elok-elok ‘top 5’.
“Jangan ada dusta antara kita. Jangan ada batu api pengadu domba. Hentikanlah kerana tindakan tidak bermaruah ini hanya akan melemahkan parti.
“Beri kepercayaan kepada ‘top 5’ dan di dalamnya ada Perdana Menteri bincanglah dengan penuh kasih sayang. Elakkan mementingkan diri sendiri dan adu domba sesama kita,” katanya lagi.