Pemilihan UMNO ditangguh kerana bimbang dana parti untuk PRU akan susut?

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan pemilihan parti tersebut sekali lagi bakal mengambil langkah untuk menangguhkannya walaupun ia sepatutnya diadakan pada Disember tahun ini.

Langkah untuk menangguhkan pemilihan UMNO itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa PAU yang mencadangkan ia diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) nanti dan parti akan membuat permohonan tersebut dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada masa terdekat.

“Keputusannya ialah yang paling besar sekali yang perlu dibuat segera ialah bahawa pemilihan parti akan ditangguhkan enam bulan selepas daripada Pilihan Raya Umum ataupun dalam jangka waktu enam bulan,” kata Mohamad dipetik semasa ucapannya di perhimpunan tersebut.

Jika sebelum ini UMNO memberi alasan bahaya penularan Covid-19 untuk menangguh pemilihan, bagaimanapun selepas dua Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan alasan yang sama tidak lagi relevan atau masuk akal untuk digunakan.

Mengambil kira momentum kemenangan besar di Melaka dan Johor, UMNO tidak mahu sebarang gangguan yang akan merencatkan semangat dalam parti tersebut dan keputusan menangguhkan pemilihan adalah jalan terbaik.

Apabila pemilihan parti ditangguh, UMNO dengan harapan dapat mengekalkan semangat sama dibawa untuk menghadapi PRU-15 nanti dan bimbang kesan perpecahan dalaman akan memberi implikasi buruk terhadap persediaan parti menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun, sekiranya PRU diadakan lebih awal, UMNO juga berisiko berdepan krisis dalaman memandangkan sudah terdapat spekulasi Ahli Parlimen (MP) yang sebelum ini tidak berada satu kem dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan tidak dicalon semula.

Terdapat beberapa nama yang disebut bakal tidak dicalon semula, nama-nama tersebut terdiri daripada beberapan MP UMNO yang sebelum ini menyokong kuat Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri (PM).

Sumber dalaman parti memberitahu, sekiranya pemilihan ditangguh dan PRU-15 pula disegerakan timbul kebimbangan watikah calon tidak akan ditandatangani Zahid.

Perpecahan dalaman sekiranya pemilihan UMNO diadakan awal sebelum PRU-15 adalah satu bab, tetapi dalam satu bab lagi adalah jika pemilihan parti diadakan ia pastinya akan menjejaskan dana calon yang bakal bertanding pada PRU-15.

Pemilihan parti menelan belanja yang banyak dan menurut sumber parti, dana yang diperlukan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi dalam UMNO boleh mencecah puluhan ribu dan juga ratusan ribu, tidak mustahil juga mencecah jutaan ringgit.

Bayangkan berapa banyak dana yang diperlukan untuk seseorang bertanding bagi jawatan diperingkat bahagian, kemudiaan dalam pertandingan majlis tertinggi sehinggalah naib presiden, timbalan presiden dan presiden, ia sudah tentu memerlukan modal yang besar untuk memastikan calon yang bertanding menang.

Jadi, tidak hairanlah apabila Mohamad membangkitkan amalan ‘sampul putih’ yang berlaku semasa PAU baru-baru ini apabila terdapat usaha pihak tertentu memulakan langkah untuk membeli undi perwakilan yang hadir.

Pemilihan parti bukan dalam tempoh terdekat, tetapi usaha untuk membeli undi daripada perwakilan sudah bermula awal dan tidak hairanlah Mohamad yang menyandang jawatan Timbalan Presiden begitu bimbang dengan budaya tersebut.

Zahid dan Mohamad tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, jadi mereka yang berjawatan dalam kerajaan ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat mempunyai kelebihan berbanding orang lain dan ia adalah lumrah budaya politik UMNO.

Terdahulu dalam ucapan Zahid semasa PAU, beliau menyindir pihak tertentu dalam parti yang didakwanya sedang membuat perancangan bagi menghadapi pemilihan parti tahun ini.

Zahid berkata ketika ini pihak terbabit sedang “berpasang-pasangan” dipercayai merujuk kepada usaha mereka membentuk satu pasukan yang lebih besar.

“Bukan saya tidak tahu, sekarang pun sudah ada berpasang-pasangan, ada cai. Harap-harapnya pasangan-pasangan tu kekallah,” katanya dipetik semasa persidangan baru-baru ini.

Dalam politik UMNO ataupun parti politik lain, modal adalah kunci kuasa yang dapat menentukan sokongan terhadap seseorang calon yang akan bertanding semasa pemilihan parti nanti.

Namun, sekiranya berlaku pemilihan awal, risikonya adalah jika dana sudah habis digunakan untuk membeli sokongan perwakilan dan terpaksa pula mencari dana baharu untuk digunakan dalam PRU-15 pula nanti.

Sekiranya sudah habis dana digunakan dalam pemilihan parti, persediaan setiap calon yang akan bertanding juga bakal terjejas kerana untuk menghadapi PRU memerlukan dana yang jauh lebih besar.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan dana yang mencukupi untuk memastikan semua calon yang bertanding dalam PRU-15 dapat menggunakannya sepanjang berkempen nanti, tetapi jika dana awal-awal lagi sudah dihabiskan dalam pemilihan ia pastinya memberi kesukaran kepada calon mereka.

Oleh yang sedemikian, UMNO awal-awal lagi sudah memberi isyarat tidak akan mengadakan pemilihan parti mereka sebelum PRU-15 diadakan kerana ia berisiko akan menyebabkan kantung parti tersebut kering dan akhirnya akan menyebabkan persediaan calon yang bertanding berdepan cabaran lebih rumit.

Jika sebelum ini UMNO mendakwa langkah pemilihan parti demi semata-mata tidak mahu perpecahan dalaman, ia adalah sama sekali tidak benar kerana alasan yang lebih tepat parti tersebut mahu menjaga kantung parti daripada terpecah sehingga mengakibatkan kesan yang lebih buruk semasa PRU-15 nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR