Pemilihan UMNO awal, mustahil Ismail Sabri boleh cabar Zahid bagi jawatan Presiden

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum pasti dapat mencabar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden UMNO sekalipun pemilihan parti diawalkan, ia memandangkan populariti Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sangat hebat dikalangan akar umbi parti.

Jika Ismail Sabri meneruskan juga langkahnya untuk melawan Zahid bagi merebut jawatan nombor satu parti itu, ia boleh dianggap sebagai langkah berani mati dan memperjudikan masa depan politiknya sahaja.

Menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, pemilihan UMNO bagi penggal 2021/2023 mungkin boleh diadakan pada Julai tahun depan selewat-lewatnya, ia perlu dimulakan diperingkat cawangan dan bahagian terlebih dahulu.

Pemilihan bagi jawatan tertinggi pula mungkin pula diadakan pada November tahun depan selepas selesai semua pemilihan peringkat akar umbi parti.

Spekulasi berhubung pemilihan awal timbul susulan tindakan kem Ismail Sabri yang menolak sebarang usaha untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal, malah sekumpulan penyokongnya juga sudah mengadakan sidang media di Parlimen baru-baru ini dengan menyatakan sokongan supaya kekal sehingga habis penggal pada 2023 nanti.

Pendirian kumpulan Ahli Parlimen pro-Ismail Sabri itu bertentangan dengan hasrat Zahid yang mahu PRU diadakan awal selewat-lewatnya pada Februari tahun depan.

Senario terbaharu ini jelas menunjukkan wujud pertembungan antara kem Ismail Sabri dengan Zahid, bagaimanapun Zahid yang dikatakan mengawal hampir majoriti ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) juga kini sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti.

Difahamkan, terdapat ahli MT yang dahulu kem Zahid kini sudah bertukar kulit menjadi kem Ismail Sabri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dijangka berdepan laluan berliku sekiranya meneruskan hasrat untuk mencabar Zahid semasa pemilihan nanti.

Beberapa pemimpin akar umbi memberitahu Agenda Daily terdapat beberapa faktor yang akan menyebabkan Ismail Sabri bakal berdepan kegagalan jika masih berdegil dan tidak mengikut telunjuk Zahid supaya mengadakan PRU awal.

Ismail Sabri tidak sepopular Zahid yang mendapat sokongan padu akar umbi UMNO kerana walaupun terpalit dengan puluhan pertuduhan di mahkamah masih mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan pemimpin bawahan parti itu.

Pemimpin akar umbi tidak melupakan jasa Zahid sebelum ini yang banyak membantu mereka semasa eranya menjadi Timbalan Presiden dan kemudiaan naik menjadi Presiden parti.

Akar umbi UMNO melihat Zahid sebagai ikon kebangkitan UMNO yang berjaya merancang strategi dan rancangan politik licik sehingga berjaya memastikan kembali menjadi peneraju utama kerajaan pusat.

Kejayaan memanipulasi dan bertindak licik dalam mempermainkan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terciduk dalam langkah dirancangnya sendiri membuktikan keupayaan Zahid sebagai seorang pakar dalam merancang taktikal langkah politik.

Walaupun Zahid dilihat terdesak kerana kes mahkamah dihadapinya, tetapi nampaknya Anwar lebih terdesak untuk menjadi PM kerana sudah gagal beberapa kali.

Zahid bijak mengambil kesempatan dan Anwar akhirnya terperangkap dengan permainan anak muridnya itu.

Kejayaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu juga menambah keyakinan dan kepercayaan akar umbi terhadap kehebatan Zahid, UMNO menang besar dan bergaya hasil taktikal yang dirancangnya.

Mengambil kira senario semasa PRN Melaka apabila Zahid diangkat sebagai wira UMNO oleh akar umbi, berkemungkinan Ismail Sabri bakal berdepan cabaran yang hebat sekiranya terus menawarkan diri untuk melawan Zahid bagi jawatan Presiden.

Jika Ismail Sabri menganggap jawatan PM yang dipegangnya akan membantu kemenangan melawan Zahid, ia adalah satu kesilapan besar dan hanya akan memakan diri sendiri.

Realitinya, Zahid lebih popular dan apabila nama Ismail Sabri ‘diboo’ semasa berada dalam bilik gerakan utama di Melaka, ia adalah petanda dan isyarat jelas kepada Ismail Sabri supaya jangan sesekali berani mencabar Zahid selepas ini.

Namun, apa pilihan yang ada pada Ismail Sabri jika mahu kekal sebagai PM sehingga habis penggal, satu-satunya jalan yang ada adalah dengan menewaskan Zahid dalam pemilihan parti.

Tetapi, jika kalah dalam pemilihan UMNO kepada Zahid, dimana Ismail Sabri mahu meletak mukanya, ia pasti mengundang kemaluan yang besar apabila seorang PM kalah dalam pemilihan partinya sendiri sebaliknya yang diangkat adalah lawannya yang banyak terpalit dengan kes mahkamah.

Tidak ada salahnya untuk Ismail Sabri mencuba untuk melawan Zahid dalam pemilihan parti, tetapi beliau perlu juga sedar akan risiko dan implikasi selepas itu, beranikah Ismail Sabri berdepan sebarang kemungkinan selepas ini?

BERITA BERKAIT
POPULAR