
Bekas Naib Presiden Rafizi Ramli mendapat mandat paling besar dalam sejarah PKR sebagai timbalan presiden pada pemilihan 2022, mengalahkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bekas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terus mendahului pesaingnya yang juga Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam perebutan kerusi timbalan presiden PKR pada pemilihan kali ini.
Selepas menguasai Selangor, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, dilaporkan hanya kalah di empat daripada 15 cabang di Kedah.
Menurut laporan terbaharu keputusan Pemilihan PKR, Rafizi menang 11 daripada 15 cabang PKR Kedah, berbanding Saifuddin Nasution.
Rafizi menjadi pilihan utama ahli PKR Kedah apabila memperoleh 4,761 undi, manakala Saifuddin, 2,724 undi.
Dalam pada itu, Rafizi menang di 13 daripada 14 cabang PKR di Kelantan.
Beliau memperoleh 3,222 undi, berbanding Saifuddin 2,132 undi.
Setakat petang ini, Rafizi yang turut menang bagi saingan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Pandan, mengalahkan pencabarnya di Selangor selepas memperoleh 25,449 undi mengatasi Saifuddin Nasution yang memperoleh 22,101 undi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan saingan merebut jawatan nombor dua PKR ketika ini sengit, memandangkan Selangor dianggap antara negeri penentu yang akan mempengaruhi trend keputusan pada pemilihan PKR, disebabkan jumlah ahli PKR Selangor paling ramai di seluruh negara.
Di Melaka, Rafizi menang selepas memperoleh 2,427 undi dan mengatasi Saifuddin (1,464 undi), sementara di Negeri Sembilan, Rafizi juga menguasai jumlah undian diperoleh di semua lapan cabang PKR di negeri itu.
Sementara di Kelantan, Rafizi memperoleh 3,222 undi selepas menguasai 11 daripada 15 cabang di negeri itu, sementara 2,132 undi pula diperoleh Saifuddin.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebelum ini memaklumkan, seramai 147,334 ahli PKR mengundi dalam pemilihan kali ini atau sekitar 13.17 peratus dari 1,118,423 ahli yang layak mengundi kali ini.
Ini bermakna, mana-mana calon yang melepasi dulu jumlah 73,667 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan kali ini.