
Dua selebriti, Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap, Altimet, turut bertanding di PKR Cabang Ampang.
Proses pengundian PKR di dua cabang di Selangor dilaporkan kecoh apabila kemudahan mengundi tidak disediakan, manakala calon pula membuka khemah berhampiran tempat mengundi.
Pemilihan bagi cabang Hulu Selangor dilaporkan dibatalkan selepas pusat pengundian didapati kosong tanpa sebarang kemudahan mengundi, termasuk kerusi dan meja seperti dikongsikan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.
Keputusan membatalkan pengundian itu dibuat atas alasan tiada kemudahan lengkap disediakan mengikut peraturan parti, kata jurucakap jawatankuasa pemilihan parti (JPP) dan penyelaras PKR Selangor Mazli Saring.
“JPP tidak menyediakan kemudahan ini. Kedua, tiada komunikasi seperti yang didakwa oleh June (Leow). Saya tidak ada apa-apa lagi untuk diperkatakan dan saya tidak mahu menuding jari. Kita akan biarkan JPP yang membuat keputusan.
“Sepatutnya ‘penjaga’ Hulu Selangor uruskan kemudahan itu. Tetapi hampir dua jam mereka tidak dapat menyediakan kemudahan itu dan jawatankuasa pilihan raya memutuskan untuk membatalkan pengundian hari ini.
“Tindakan lanjut akan dilaporkan tidak lama lagi dan JPP akan mengeluarkan (notis) pembatalan tidak lama lagi,” katanya memetik laporan media tempatan hari ini.
Mazli menafikan JPP terlepas pandang perkara itu dan gagal melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang didakwa Leow, yang merupakan ketua cabang selama dua penggal.
“Jangan salahkan JPP. Saya ada semua bukti dan fakta. Jadi, jangan cakap. Ini bukan masa untuk saling menuding jari kerana ini urusan parti,” katanya.
Sementara itu, sesi pagi pengundian pemilihan PKR secara fizikal di Cabang Sungai Buloh juga kecoh sedikit apabila ahli parti saling tolak-menolak selepas pintu pagar Dewan Serbaguna Kota Damansara dibuka jam 9 pagi, namun tiada insiden pergaduhan berlaku.
Calon Ketua Cabang Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, pengundian berjalan lancar, walaupun lewat sedikit dalam proses menunggu untuk mengundi.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati, tetapi ada beberapa pelanggaran proses membabitkan pembukaan khemah calon. Sepatutnya khemah dibuka 200 meter dari pagar dewan mengundi, tetapi ada yang buka tidak sampai 100 meter. Ini akan kita adukan kepada JPP,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.
Beliau yang bertanding mempertahankan jawatan ketua cabang ditentang tiga calon, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk R Ramanan dan bekas Naib Ketua Cabang Subang, Mohd Majeman Nyono.
Pengundian di Cabang Ampang dianggap menarik perhatian selepas dua daripada tujuh calon ketua cabang adalah dua selebriti, Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap, Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, turut bertanding.
Mereka dilihat berada di tempat pengundian sejak pagi bersama lima lagi calon yang merebut jawatan sama, iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, Abdul Halim Mohamed Yusof, Daeng Muhammad Reduan Bachok dan Abdul Latif Shaari.
Cabang Ampang sebelum ini diketuai Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum beliau keluar parti dan menyertai Bersatu.