
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menjangkakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan dua tindakan serentak dalam menghadapi pilihan raya (PRN) di enam negeri yang dijadual beberapa bulan lagi.
Kedua-dua tindakan itu ialah ‘pembunuhan karakter Perikatan Nasional (PN)’ dengan menyasarkan keperibadian Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mensucikan imej kluster mahkamah.
Menurutnya karakter PN perlu dibunuh dengan cara menghasut dan membentuk persepsi rakyat bahawa seolah-oleh gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan ini juga rosak dan korup.
“Saya menjangka akan ada dua perkara berlaku secara “parallel” dalam tempoh terdekat. Pertama pembunuhan karakter PN dan kedua penyucian imej kluster mahkamah. Ini menjadi keutamaan PH-BN terutama sebagai persediaan untuk PRN enam negeri.
“Karakter PN perlu dibunuh kerana PN adalah pesaing terbesar PH-BN. BN telahpun kalah teruk dengan PN. Tapi PH memerlukan BN untuk menarik sokongan Melayu. Maka PH-BN akan bekerjasama untuk menghasut dan membentuk persepsi rakyat seolah-olah PN itu rosak dan korup.
“Target utama PH-BN ialah keperibadian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keperibadian pemimpin-pemimpin kanan dalam PN. Ini kerana populariti dan keyakinan rakyat terhadap PN dan Muhyiddin terus kekal tinggi hingga ke hari ini.
“Rakyat tahu bahawa jika dibandingkan Anwar-Zahid dan orang-orangnya dengan Muhyiddin dan pemimpin di sekeliling Muhyiddin, maka perbezaannya adalah seperti langit dan bumi. PH-BN akan buat apa saja untuk merosakkan kredibiliti Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (15 Januari 2023).
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa pembunuhan karakter itu tidak akan dilakukan sehingga ranap sepenuhnya.
“Jika mereka (PH-BN) boleh menghasut rakyat mengatakan Muhyiddin dan pemimpin PN sama sahaja dengan PH-BN, itupun mereka akan anggap sudah berjaya. Mereka sudah berjaya jika rakyat mempersoalkan PN,” katanya lagi.
Pada masa sama, penyucian imej kluster mahkamah pula akan mereka lakukan segera kerana mereka mahu mempengaruhi persepsi rakyat dalam menghadapi PRN di enam negeri, tegasnya.
Beliau berkata matlamat mereka sudah pasti untuk membersihkan seorang demi seorang kluster mahkamah, terutama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan membebaskan mereka daripada imej buruk itu.
“Saya bimbang apabila membaca pendedahan Ketua Hakim Negara mengenai cubaan menakut-nakutkan atau memberi tekanan terhadap hakim pada tahun lepas.
“Saya menyokong pandangan Ketua Hakim Negara bahawa percubaan yang mereka buat pada tahun lepas ini adalah penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.
“Kita mesti pertahankan integriti institusi perundangan dari salahlaku serangan seperti yang berlaku tahun lepas. Kita semua tahu siapa memimpin kerajaan tahun lepas,” katanya.
Wan Saiful juga mengingatkan rakyat bahawa kedua-dua pemimpin PH-BN – Anwar dan Zahid – mempunyai rekod penyalahgunaan kuasa, sebelum ini.
“Kes Zahid semua orang tahu. Tapi ramai yang terlupa bahawa Anwar telah dipenjara kerana bersalah memaksa agensi penguatkuasaan undang-undang bertindak untuk kepentingan dia sendiri. Anwar telah menjalani hukuman penjara atas kesalahan ini. Dia bersalah.
“Sekarang Anwar-Zahid bergabung memegang dua jawatan tertinggi negara. Adakah kita boleh percaya mereka tidak akan mempergunakan agensi penguat kuasa untuk menyiasat dan menekan, dengan tujuan membunuh karakter Muhyiddin dan pemimpin PN, serta untuk membersihkan imej kluster mahkamah?
“Kita tahu agensi-agensi perundangan kita bekerja dengan ikhlas dan mereka mahu bebas bekerja. Tetapi gabungan Anwar-Zahid memang ada rekod yang jelas mempergunakan segala-galanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.