
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Langkah membekukan akaun Parti Bersatu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir menimbulkan banyak persoalan motif tindakan tersebut, kata Mohd. Shukri Ramli.
Menteri Besar Perlis itu berkata langkah membekukan akaun tersebut tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama kerana memerlukan belanja untuk persediaan menghadapi PRN, malah Pakatan Harapan (PH) yang juga berbelanja banyak tidak pula disiasat pihak berkuasa.
“Pembekuan akaun Bersatu ini pada saya jangan terlalu lama kerana mereka adalah rakan kami di dalam Perikatan Nasional (PN) dan merupakan parti baharu.
“Saya tak jangka mereka mempunyai banyak duit sampai perlu dibekukan akaun berkenaan tambahan pula PRN di enam negeri semakin tiba,” katanya yang juga Pengerusi PN Perlis dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, imej PAS tidak terjejas walaupun Bersatu yang merupakan parti komponen dalam PN terpalit dengan pembekuan akaun bank itu.
“Bersatu juga belum dijatuhkan hukuman dan hanya di peringkat pembekuan akaun bank sahaja bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh SPRM,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pengenalan kabinet bayangan PN, Mohd Shukri berkata, perkara itu amat diperlukan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak begitu mantap ketika ini.
Tambahnya, pengenalan itu juga sebagai persediaan berhubung kemungkinan pertukaran kerajaan bakal berlaku dalam masa terdekat.
“PN dalam keadaan bersedia jika berlaku perubahan kerajaan dan ini adalah satu langkah bijak oleh pimpinan parti,” katanya lagi.