
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mencabar Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam pemilihan PKR bagi jawatan Ketua Cabang Gombak.
Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ketua Cabang PKR Gombak bakal dicabar pembantu dan pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan parti yang akan diadakan April depan.
Bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengumumkan langkah itu sebagai usaha untuk membenam Amirudin yang dilihat sebagai orang bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Farhash berkata kartel Azmin sudah tidak lagi dalam PKR dan Amirudin sepatutnya tidak perlu takut untuk berdepannya dalam pemilihan PKR nanti kerana dirinya hanya ahli biasa.
“Tak ada kartel (lagi) dalam PKR, kalau ada pun saki-baki orang yang mungkin bersama Azmin. Tapi saya tak nampak Amirudin bersama Azmin, saya nampak dia jadi ‘party-man’ (orang parti).
“Saya tak nampak kenapa MB harus takut atau pasukan MB harus takut kerana mereka dah buat kerja di situ bertahun, dan saya ahli biasa,” katanya dipetik laporan FMT hari ini.
Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak itu juga berkata keputusan tersebut adalah proses demokrasi biasa dan menafikan masih wujud konflik dengan saki baki pemimpin yang berada dalam kem bekas Timbalan Presiden PKR.
“Apa yang konflik, itu proses demokrasi. Jawatan ini hanya sementara dan bukan hak sesiapa kerana itu parti buat pemilihan. Itu hak masing-masing untuk memilih.
“Konflik tu biasalah, mana-mana pun ada konflik, kadang tiga penjuru, lima penjuru benda itu biasa. Mungkin nampak kontroversi sebab saya Pengerusi (PKR) Perak, tapi untuk saya bukan nak gaduh ke apa. Ini pemilihan, kita buat cara baik,” kata Farhash.
Dalam pada itu, Farhash juga mahu melawan Azmin dan Setiausaha Politiknya, Hilman Idham di kerusi yang mereka menangi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding menentang Azmin atau Hilman, ini cara saya tawarkan diri untuk bertanding di Gombak.
Sekiranya mereka lari tempat lain, saya akan cari (mereka). Saya tak kisah DUN atau Parlimen (mana),” katanya penuh yakin.