Pembangkang wajar terima tawaran PM, kata Majlis Ayahanda Malaysia

Majlis Ayahanda Malaysia (MASIA) meminta semua pihak terutama parti pembangkang menerima tawaran dan inisiatif dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengakhiri kemelut politik tanah air, demi kepentingan rakyat.

Pertubuhan itu juga yakin inisiatif mengadakan kerjasama rentas parti politik adalah langkah tepat pada masanya, kata Bendahari MASIA Zamrin Hamzah dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu MASIA berpendapat semua pihak terutama pembangkang wajar menerima tawaran itu dengan tangan terbuka demi kepentingan rakyat dan negara.

“Demi rakyat dan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) rela berkongsi kuasa dengan pembangkang dalam usaha memerangi Covid-19.

“Saya amat bersimpati dan teruja dengan kepemimpinan Perdana Menteri. Belum ada pemimpin seperti ini yang sanggup berkorban dalam mendepani masalah rakyat dan negara,” katanya.

Zamrin atau lebih dikenali sebagai Tok Ayah Zamrin berkata pandemik Covid-19 adalah perang alaf baru di seluruh dunia yang belum pernah sesiapa pun mengalami dan memenangi serta menyelesaikannya.

“Perdana Menteri Malaysia diasak dari segenap penjuru oleh lawan dan kawan. Musuh dalam selimut menikam belakang Perdana Menteri secara terang-terangan.

“(Namun) saya lihat Tan Sri Muhyiddin tabah dan cekal menghadapi cabaran ini.

“Semoga Malaysia kembali ke landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi negara. Semoga rakyat Malaysia boleh hidup dengan aman damai berkongsi kekayaan dengan rakyat jelata,” katanya yang menjunjung tinggi titah Sultan Johor berkaitan polemik politik sekarang ini.

Semalam, Perdana Menteri menawarkan untuk menjalin kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

BERITA BERKAIT
POPULAR