Pembangkang tidak boleh berpecah kerana yang untung BN: Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perpecahan dikalangan parti pembangkang akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) akan untung dan menggesa supaya pakatan baharu diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Pejuang itu mengakui kekalahan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu disebabkan perpecahan yang berlaku disebelah pembangkang, ia menyaksikan pertembungan banyak penjuru dalam kerusi yang ditandingi di Johor.

Ekoran pertembungan banyak penjuru tersebut, BN walaupun meraih undi popular yang rendah tetapi masih berjaya menguasai hampir dua pertiga kerusi DUN Johor, terangnya lagi.

“Kita tak boleh berpecah sebab jelas sekali berpecah sebabkan kita kalah dan sebabkan kita dapat kurang sokongan.

“Sebab BN hanya mendapat sokongan 53% dalam pilihan raya negeri. Walaupun dengan 53% itu, mereka menguasai dua pertiga dan berhak pinda perlembagaan (negeri) pun,” katanya semasa sidang media hari ini.

Keputusan PRN Johor nyata berbeza pada PRU-14 lalu, ia menyaksikan Pakatan Harapan (PH) ketika itu dipimpin Dr Mahathir berjaya memenangi 36 kerusi tetapi kedudukan tersebut berubah apabila mereka tewas dengan teruk kepada BN pada PRN Johor baru-baru ini.

Berhubung rakan baharu untuk membentuk pakatan tersebut, Dr Mahathir berkata beberapa nama parti sudah dicadangkan oleh pimpinan parti untuk diteliti sebelum membuat keputusan.

Namun, Dr Mahathir menjelaskan kerjasama dengan “rakan-rakan” parti terdahulu sudah pun meninggalkan kesan lama.

Sementara itu, Dr Mahathir juga turut mengulas desakan berhubung PRU-15 diadakan dalam kadar yang segera dengan berkata langkah tergesa-gesa itu tidak baik untuk pentadbiran negara.

“Jadi masa perlu diberi supaya negara dan rakyat khususnya, mempunyai masa untuk mereka menimbang baik-baik tentang apa yang mereka (parti bertanding) lakukan.”

Ketika ini, pimpinan utama UMNO sedang meneruskan tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.

Ucapan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur dilihat senada mendesak Parlimen dibubarkan segera selepas siri kejayaan BN dalam PRN di Melaka dan Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR