Pembangkang kaji bincang prestasi buruk PRN Johor, masih mahu kekal bawah Anwar

Susulan prestasi buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac baru-baru ini, blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) akan mengkaji punca penolakan rakyat terhadap gabungan tersebut.

Majlis Presiden gabungan itu dalam satu kenyataan berkata menerima kekalahan tersebut secara terbuka hati, namun memberi bayangan untuk kekal terus berada bawah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun didakwa menjadi punca perpecahan utama dalam parti pembangkang dan gagal menyatukan semua parti dibawah satu khemah besar.

“Majlis Presiden PH menerima keputusan rakyat dalam PRN Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan PH (hanya) memenangi 12 kerusi,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Untuk rekod, PKR yang diketuai Anwar bertanding menggunakan logo sendiri dan tidak logo rasmi, PH tetapi masih gagal mencapai kemenangan dan hanya meraih kemenangan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden PKR Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Datuk Seri Madius Tangau.

Dalam pada itu, kenyataan itu juga berkata bagi mencari jalan dan titik pertemuan terhadap kelemahan dihadapi mereka, satu konvensyen dan pemukiman akan diadakan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“PH akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi PRU ke-15.

“Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh.

“Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan PH untuk menggilap semula idealisme perjuangan PH dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15,” katanya lagi.

Pada PRN Johor 12 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) menang besar dengan meraih 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Ini meskipun mereka hanya meraih 43.11 undi popular. Faktor utama kemenangan mereka adalah perpecahan pembangkang.

Tiga parti komponen PH dan Muda meraih 29.87 peratus undi, sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat 24.04 peratus undi.

PH menang 12 kerusi, Muda satu kerusi dan PN tiga kerusi.

BERITA BERKAIT
POPULAR