Pembahagian kerusi PN di Melaka, PAS berpuas hati

Lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diberikan kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah mencukupi dan berpuas hati dengan pembahagian tersebut.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembahagian kerusi dibuat hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bersatu dan Gerakan dengan berjalan secara muafakat.

“Hasil perbincangan berkenaan seperti yang diumumkan, bermakna bagi kami (PAS) tidak timbul isu tidak puas hati dan sebagainya sebab memang dirunding pada peringkat awal.

“Persetujuan bersama untuk setiap parti bertanding, tetapi sebagai satu pasukan. Walaupun jumlah kerusi itu (mengikut) parti masing-masing, kita akan duduk sebagai satu pasukan kerana kita bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan bukan atas tiket parti masing-masing, ” katanya dipetik laporan portal BH.

Tuan Ibrahim tidak dapat hadir kerana menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Terengganu.

Ketika ditanya mengenai hala tuju Muafakat Nasional (MN) yang mungkin terjejas atau sebaliknya, Tuan Ibrahim memaklumkan MN tidak berdaftar atas parti politik.

“Sebab Muafakat Nasional tidak berdaftar, bagi kami Muafakat Nasional ialah satu medan besar untuk penyatuan ummah.

“Ia bukan hanya sekadar untuk pilihan raya (tetapi) gagasannya ialah penyatuan ummah yang bukan hanya untuk pilihan raya. Pilihan raya mesti parti berdaftar dan sebab itu PAS bertanding atas tiket PN sebab ia berdaftar,” katanya lagi.

Perikatan Nasional (PN) mengumumkan semua calonnya yang akan bertanding bagi 28 kerusi DUN Melaka pada 20 November ini, ia sekaligus bakal menyaksikan pertandingan banyak penjuru.

Daripada 28 kerusi tersebut, Bersatu akan bertanding 15 kerusi, lapan dari PAS dan lima lagi dari Gerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR