Pembahagian kerusi PN dalam PRN Johor selesai, fokus kerusi boleh menang

Perikatan Nasional (PN) telah selesai membahagikan semua kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata pembahagian melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan itu selesai sepenuhnya petang semalam namun pengumuman calon hanya akan dilakukan selepas 11 Feb ini apabila PN selesai mengadakan beberapa program termasuk pelancaran jentera di Johor Bahru, menurut laporan Bernama.

“Bagi kerusi yang dipertandingkan, kita akan fokus semua kerusi tetapi kita mempunyai beberapa tempat yang kita yakin ada peluang lebih baik,” katanya.

Wan Saiful terdahulu menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Batu Pahat semalam.

Wan Saiful berkata bagi kerusi tumpuan, ia akan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PRN Johor Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beliau telah menggariskan strategi besar untuk seluruh negeri.

Mengulas mengenai tindakan lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai keluar daripada parti itu dan menyertai Warisan, beliau berkata Bersatu tidak terkesan dengan perkara yang berlaku dan tetap akan bertanding di kawasan terbabit.

Menurut Wan Saiful, pengumuman keluar parti itu hanya dibuat oleh individu dan tidak menjejaskan struktur parti malah keahlian mereka akan digantikan dengan orang lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR