Peluang untuk menang cerah jika ramai keluar mengundi: Muhyiddin

Peluang untuk Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor cerah sekiranya orang ramai keluar mengundi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata hanya dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi mereka dapat memenangi PRN dengan cemerlang dan jika peratusan keluar mengundi rendah sama seperti yang berlaku di Melaka ia hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Saya percaya bahawa pimpinan anak-anak muda yang ada faham, kita tiada pilihan dan pilihan kita ialah sokong PN, cuma dibimbangi beberapa peratusan yang akan keluar mengundi, kalau ikut Melaka 60 peratus, apakah Johor 59 peratus atau 70 peratus?

“… saya nak ingatkan kalau sekiranya peratusan keluar mengundi rendah itu akan menguntungkan Umno-BN, sebab kalau disana (UMNO-BN) bersolat hajat jangan orang keluar mengundi, kita kena solat hajat supaya ramai-ramai keluar mengundi, makin ramai keluar mengundi peluang dan harapan kita untuk menang cemerlang amat baik sekali,” katanya selepas berucap di ceramah Pentas Anak Muda Johor, di Pagoh malam tadi.

Katanya, pengundi muda juga akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan PN pada PRN yang akan diadakan pada 12 Mac nanti.

Tambah mantan Perdana Menteri itu lagi, kemenangan PN di Johor juga sebagai platform gabungan itu untuk bersiap menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan menawan kembali Putrajaya.

“PN akan kembali berkuasa bukan sahaja di Johor, tetapi peringkat negara dalam PRU akan datang,” katanya.

PRN Melaka yang lalu menyaksikan jumlah peratusan pengundian sebanyak 65.85 peratus, iaitu kurang daripada jangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus.

Untuk rekod, undi awal PRN Johor yang berlangsung pada Isnin mencatatkan 87 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi awal yang layak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi iaitu seramai 22,531.

BERITA BERKAIT
POPULAR