Peluang terbaik Zahid jadi PM jika PRU-15 diadakan segera

Tumpuan akan terarah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dan pelbagai spekulasi sudah hangat diperkatakan terutamanya berhubung isu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Berbekalkan dua kemenangan bergaya dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sudah pastinya Presiden UMNO itu tampak lebih berkeyakinan dan kembali mendapat sokongan padu daripada akar umbi.

Daripada ucapan perasmian sayap UMNO yang disampaikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, semakin jelas naratif yang bakal dibawa oleh Zahid pada ucapan dasar nanti dan ia bukan lagi rahsia umum PRU-15 bakal diadakan dalam masa terdekat.

Sama seperti senario yang berlaku PAU tahun lalu yang menyaksikan UMNO membuat ketetapan untuk menamatkan hubungan dengan Bersatu sehingga akhirnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang, dijangkakan episod sama juga bakal berulang dengan Zahid bakal meneruskan agenda utamanya untuk mengadakan PRU secepat mungkin.

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam kelihatan kurang ceria, malah tidak mengulas panjang berhubung perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

Sikap tersebut berbeza sama sekali dan luar kebiasaan kerana Ismail Sabri dianggap sebagai seorang yang peramah dan ceria dikalangan para wartawan.

Pergerakan bahasa badan Naib Presiden UMNO itu juga dilihat kurang bersemangat dan seakan menyembunyikan sesuatu yang pahit untuk diluahkan selepas menghadiri mesyuarat MT malam tadi.

Namun, realitinya Presiden UMNO lebih berkuasa daripada seorang PM walaupun Ismail Sabri merupakan pemimpin nombor satu negara.

Hala tuju dan pendirian parti masih lagi dikuasai oleh seorang individu iaitu Presiden parti, ia lumrah dalam mana-mana parti politik dalam negara yang perlu diterima.

Lebih jelas lagi, perwakilan sayap UMNO yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri secara keseluruhan menyambut secara terbuka ucapan disampaikan Mohamad supaya PRU-15 diadakan dengan segera.

Hampir majoriti pembahas sayap UMNO bersetuju sekiranya PRU-15 diadakan dengan segera, ia pastinya akan memeningkan Ismail Sabri melihat senario yang berlaku.

Jadi, tidak hairanlah apabila Ismail Sabri hampir seharian menghabiskan masanya untuk meninjau dan memantau sepanjang perjalanan persidangan sayap UMNO semalam, ia disusuli dengan beberapa program kecil yang dianjurkan bersama para perwakilan di PWTC.

Malah, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang berada dalam satu kem dengan Zahid juga turut berada di PWTC semasa persidangan sayap berlangsung dan seakan cuba memperlihatkan popularitinya yang lebih popular berbanding Ismail Sabri.

Menurut laporan, Najib disambut dengan laungan ‘Bossku’ apabila memasuki dewan persidangan, slogan yang sinonim dengan bekas PM sejak menjadi Kluster Mahkamah.

Bagaimanapun, Ismail Sabri juga turut mendapat sambutan hangat daripada perwakilan persidangan sayap semasa melawat dewan, namun terdapat juga insiden yang kurang manis berlaku seperti tular video Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan tidak bangun memberi penghormatan kepada PM.

Senario PAU 2021 kali ini agak janggal kerana jika sebelum ini UMNO banyak membincangkan masalah dan isu melibatkan kepentingan rakyat, tetapi nampaknya yang lebih menghairahkan pemimpin mereka kini adalah untuk melihat PRU-15 diadakan dengan segera.

PAU 2021 kali ini merupakan satu-satunya peluang dimiliki Zahid untuk menjadi PM dan sekiranya ia tidak diadakan dengan segera berkemungkinan nasib sama menimpa Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersabit kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd juga bakal dihadapinya sama.

Hanya PRU-15 dan kemenangan yang dominan seperti di Melaka dan Johor bakal membebaskan Zahid dan Najib daripada pertuduhan yang dihadapi mereka di mahkamah, tidak ada jalan keluar lain.

Mengambilkira momentum dan prestasi hebat UMNO dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, Zahid tidak boleh menunggu lama PRU-15 diadakan kerana kes mahkamahnya juga sedang berjalan ketika ini.

Apa yang Zahid boleh lakukan sekarang adalah dengan mencari jalan untuk meneruskan tekanan kepada Ismail Sabri agar membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 dengan segera, sekali lagi suara akar umbi parti itu akan jadikan modal untuk memastikan hasrat tersebut menjadi kenyataan.

Jadi, apakah yang berlaku selepas ucapan perasmian Zahid semasa PAU 2021 nanti? Adakah Zahid berjaya dalam misinya sekali lagi seperti yang berlaku pada PAU tahun lepas? Sama-sama kita nantikan.

BERITA BERKAIT
POPULAR