
Himpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di ibu negara yang diadakan pada 14 Ogos 2022. - Gambar Agenda Daily
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan isu kapal tempur pesisir (LCS) yang sehingga hari ini tidak siap walaupun sudah banyak belanja sudah dikeluarkan sebelum ini.
Syed Saddiq mempertikaikan pembinaan kapal tersebut kerana tiada sebarang perkembangan terbaru selain kos keseluruhan projek berkenaan meningkat kepada RM11.2 bilion dan ia melibatkan wang rakyat yang digunakan untuk tujuan keselamatan negara.
“Berbilion-bilion duit cukai rakyat telah dibelanjakan untuknya. Apa yang lebih menjengkelkan, jumlah asal kapal itu adalah sebanyak enam kini berkurang satu menjadi lima.
“Kos naik, barang berkurang, kapalnya tidak sampai-sampai. Pelik bin ajaib,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.
Syed Saddiq menambah, kapal itu sepatutnya telah pun diterima berdasarkan perancangan asal, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Justeru, beliau menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi respons mengenai hal berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pihak berkuasa tidak gentar dan menonjolkan sikap berani kerana benar apatah lagi isu yang berlaku melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Muar akan membawa usul tergempar untuk membahaskan isu ini. Biarlah kita mencari kebenaran. Kebenaran wajib menang,” katanya.
Sebelum ini pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.
Projek LCS bermula pada 2013 tetapi selepas RM6 bilion dibelanjakan, BNS telah terlepas tarikh akhir 2019 untuk menghantar kapal pertama.
Sehingga tahun lepas, pembinaan kapal keenam masih belum dimulakan dan tiada satu pun kapal telah mencapai kemajuan melebihi tahap 50 peratus.